Kisah ini mungkin kisah saya. Kisah penuh peribadi. Boleh jadi tidak akan sesiapa mengerti. Juga tidak akan ada sesiapa peduli. Masing-masing dalam hidup punya cerita, mengapa mahu baca cerita orang lain? Tidak mengapa, saya cuma akan bercerita kepada yang mahu tahu. Barangkali ada pengajaran, barangkali terdapat sesuatu.~Salsabila Fahim :Tunggu Teduh Dulu: Faisal Tehrani~


Tuesday, October 25, 2011

AKHIRNYA KAMI BERSATU

Alhamdulillah... sepanjang tempoh pertunangan, kami hanya lima kali berjumpa dan ditemani ibu ayah saya. Alhamdulillah... Perjumpaaan pertama sewaktu merisik, yang kedua ketika bertunang, ketiga ketika bertukar barang hantaran, keempat ketika ke butik perkahwinan untuk mengukur baju dan yang kelima ketika menghantar borang nikah kerana prosedur menghantar borang di Johor jika pasangan daripada satu daerah wajib hantar bersama untuk ditemuduga bersama. Semua perjumpaan saya ditemani ayah dan ibu.

Sepanjang tempoh petunangan kami hanya berbalas mesej di Facebook atas urusan yang melibatkan keperluan untuk mendapatkan respon dengan cepat. Dan saya hanya mempunyai no hp suami saya, kira-kira 50 hari sebelum kami dinikahkan kerana ketika itu saya dan Aima ke butik pengantin berasingan. Ketika itu saya, ayah dan ibu telah sampai di butik manakala Aima dan emak belum sampai... Tiba-tiba saya mendapat mesej bahwa mereka sudah berada di bawah... dan ketika itulah baru saya tahu itulah nombor telefon tunang saya.

Sepanjang pertunangan kami tidak pernah membuat panggilan telefon... Malah sehingga ke waktu ini pun saya tak pernah call suami saya. Hehe... dah boleh cakap depan-depan buat apa nak call kan. ;)

Saya mempunyai prinsip saya yang saya harap selari dengan tuntutan agama. Walaupun ia kelihatan pelik dan aneh di mata masyarakat ketika tempoh pertunangan itu.


"Dan janganlah kamu mendekati zina. Sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang buruk."
Maksud Surah al-Isra'
17:32


Beberapa perkara saya diuji sepanjang bertunang. Yang kadang-kadang saya juga rasa seakan tewas...

Saya ditanya berkali-kali kenapa tidak bertukar no hp oleh ahli keluarga dan rakan. RASIOANALnya: saya tidak mahu berhubung jika tidak bekeperluan. Melalui pemerhatian saya berdasarkan pengalaman orang sekeliling, bila dah ada no hp, masing-masing mula bermesej perkara yang saya rasa tidak perlu pun seorang tunang itu tahu dan ada yang bergayut sehingga tengah malam.

Saya ditegur kerana tidak 'berkenal-kenalan' dalam tempoh pertunangan ini sedangkan tujuan bertunang adalah untuk berkenalan. RASIONALnya: bagi saya sudah memadai saya tahu dia seorang yang baik melalui maklumat yang saya dapat dari kenalan. Selain saya sudah kenal Aima sejak dari sekolah. Kenal dari jauh sajalah. Saya kenal Aima sebagai ketua pengawas di sekolah saya yang juga turut seringkali mengetuai bacaan doa. Saya mempunyai konsep yang mudah iaitu, siapa suami saya, ia adalah jodoh yang dah ditetapkan oleh ALLAH. Apa yang penting saya yang perlu menjaga diri saya, supaya saya juga dapat seorang yang jaga dirinya.


Saya diberi pandangan oleh rakan, mungkin tunang saya dipaksa bertunang oleh keluarga kerana rakan saya pelik kerana tunang saya tak pernah menelefon saya. Saya tersenyum tidak mampu menjawab. Pelbagai pandangan dan pendapat orang saya terima dan berfikir.


Kesibukan tugas sebagai seorang guru sains tingkatan 3. Persiapan pelajar nak PMR. Persiapan diri dan barang perkahwinan saya, juga untuk majlis perkahwinan angah saya pada bulan Julai. Hanya Allah yang tahu, betapa tahap ketensenan yang saya hadapi. Seterusnya membuatkan saya merasakan masa berlalu terlalu cepat. Tanpa saya sedar, hari bersejarah dalam hidup saya semakin hampir. Sehinggalah saya menulis sebuah entry : 100 hari lagi.



Alhamdulillah... lebih kurang jam 8.30 pagi 19 Syawal 1432 H @ 17 September 2011 saya sudah berubah status kepada PUAN RAIHAH ROSLI. Setinggi-tinggi syukur saya panjatkan kepada Allah kerana mengurniakan seorang suami kepada saya... suatu perkara yang tak pernah saya bayang dan harapkan kerana menyedari kekurangan dan kelamahan diri yang terlalu banyak berbanding dengan perempuan-perempuan lain.



Suatu babak yang berulang kali berlaku di UPSI.
Kawan: Kau tak nak gi kursus kahwin?
Saya: Tak nak lah. Buat pe. Bukan nak kahwin pun.
Kawan: Kalau tak nak kahwin pun, untuk ilmu.
Saya: Tak apa lah. Dulu belajar munakahat dah mendalam dah aku belajar.
Kawan: Tak nak ke? Kalau amik kat luar mahal. Org kata tahun dapan dia nak buat seminggu kursus kahwin.
Saya: Malaslah. Lagipun budak-budak yang pergi ni, gi ngan couple. Malas lah.
ut
Matlamat berkahwin adalah satu perkara yang saya tak terlalu fikirkan masa belajar dulu. Malah dalam perancangan kehidupan saya, saya membuat dua plan. PLAN A dan PLAN B. PLAN A perncangan saya lima tahun selepas dapat degree sekiranya saya berkahwin dan PLAN B perancangan lima tahun saya selepas degree sekiranya saya tak berkahwin.


Alhamdulillah... ya Allah kerana mengaturkan jalan yang indah dalam hidupku ini. Terima kasih ayah dan ibu. Terima kasih mak dan ayah. Terima kasih suamiku kerana menerima diri ini seadanya.



p/s: Terima kasih sahabat kerana sudi hadir memeriahkan majlis. Terima kasih banyak-banyak :)


Entry hari merisik : 16 September 2010
Entry hari pertunangan: 18 Disember 2010.


Sunday, October 9, 2011

KISAH KAMI SETERUSNYA...

Maghrib 2 Ramadhan 1431 H bersamaan 11 Ogos 2010. Saya berbuka dengan keluarga di meja makan. Saya, ayah dan ibu. Ayah hanya minum air dan makan sedikit terus berlalu ke masjid.

Ibu: Hah, mak Aiman mesej ibu. Reply kan lah... ibu tak tahu emel Hah.
Saya: Apa? Nak emel.
Ibu: Hari itu ibu ada bagi gambar Hah kat mak Aiman.
Saya: Gambar mana pulak. Kan dah lama tak cuci gambar. [sejak zmn kamera digital dah tak cuci gmbr]
Ibu: Adalah ibu cari... ibu jumpa dalam album.
Saya: Huhuhu... malunya.

Handphone ibu diambil. Mesej dibalas. Alamat emel dan nama FB diberikan. Berfikir panjang saya waktu itu, oh...sudah seperti jauh sungguh saya rasa. Saya sematkan dalam hati, saya redha apa yang terjadi. Sebuah pengharapan...

Selang sehari daripada satu request friend di fb bernama AIMARASHID MOHAMAD NOR. Saya terima... walaupun rasa takut. Bermulalah sebuah perkenalan dengan sebuah mesej salam perkenalan. Aima menerangkan bahawa dia tidak pernah mengenali saya walaupun kami seSMKTUN, seKMJ dan seUPSI. Hehe... saya sedar saya bukan orang yang popular.Saya pula menerangkan kepada Aima bahawa saya mengenalinya sejak dari sekolah kerana dia merupakan pengawas sekolah, pembaca doa dan menjadi ketua pengawas ketika di tingkatan 5. Sementelahan kami pernah di persatuan yang sama iaitu kelab Pembimbing Rakan Sebaya.

Cuma pada ketika itu saya hanya terfikir... Dalam keadaan emak dan ayahnya tidak mengenali saya, malahan Aima juga tidak mengenali saya. Hanya ayah Aima mengetahui yang emak saya (ayah aima dan emak saya sepejabat) ada anak sesekolah dengan anaknya. Emaknya boleh bertanya kepada emak saya. Akhirnya saya percaya itulah ketetapan ALLAH.

Kami hanya berhubung menggunakan laman sosial Facebook. Bermula dengan mesej salam perkenalan, diikuti mesej tentang posting dan mesej selamat hari raya. Mesej keempat adalah mesej tentang mahu berkunjung raya pada Khamis bersamaan 16 September 2010. Rupanya kunjungan 16 September 2010, kunjungan raya luar biasa... Alhamdulillah... saya dirisik dengan sebentuk cincin.


Cincin pertama saya... cincin risik :)

Perancangan dibuat untuk Majlis Pertunangan pada bulan Disember. Pada awalnya merancang pada 25 September... tetapi diawalkan kepada 18 Disember 2010 , beberapa hari selepas kepulangan emak dan ayah Aima dari Tanah suci.


Selangkah lagi kehidupan saya berubah. Saya berdoa kepada Allah agar perhubungan yang belum halal ketika itu saya dapat pelihara. Pada awal pertunangan saya, tidak ramai kenalan yang tahu saya sudah bertunang. Hanya Azaty dan Farhana sahaja yang mengetahui... Itupun secara tidak langsung. Farhana hadir pada majlis pertunangan saya. Majlis pertunangan saya ringkas sahaja. Keluarga Aima dan keluarga saya yang hadir pada majlis pertunangan tersebut tak sampai 4o orang.



Seusai majlis pertunangan, saya meng'upload' gambar pertunangan di FB, tetapi untuk tatapan keluarga sahaja. Dengan mengambil' privacy-custom' dengan memilih kaum keluarga saja sebagai viewers. Tapi, tidak pada pihak Aima. Aima meng'upload' gambar pertunangn kami dan pertunangan adiknya yang berlangsung kira-kira 2 minggu selepas pertunangan kami. Mulalah riuh dalam kalangan rakan-rakan SMKTUN yang saya sudah bertunang dengan senior saya senyap-senyap. Yang memahami, mengutuskan ucapan tahniah. Yang berkecil hati, langsung merajuk. Yang mengusik pun tidak kurang juga, kerana mengandaikan kami ber'couple' sejak zaman sekolah.. haha.




"Jika datang kepada kamu sesiapa yang kamu redai agama dan akhlaknya maka nikahilah dia. Jika tidak dilakukan akan berlaku fitnah dan kerosakan berleluasa"
Hadis Riwayat al-Baihaqi


Sunday, October 2, 2011

BERMULANYA KISAH KAMI...

Dipagi Ahad 1 Ogos 2010 bersamaan 20 Syaaban 1431 yang tenang, saya duduk bersarapan bersama keluarga. Ayah, ibu, Along dan saya. Menu pagi tu ringkas saja. Makanan yang ibu beli dari pasar.

Ibu: Hah, tadi ibu jumpa mak Aiman.
Saya: Owh... kat pasar ke?
Ibu: Ha...ah. Kat depan kedai orang jual ikan. Mak dia tanya"Jadi tak nak berbesan?".

Saya terdiam sambil menahan malu lebih-lebih lagi perkara ini diperkatakan didepan ayah.

Terimbas kenangan beberapa bulan sebelum itu. Sewaktu saya berpraktikum di Kuantan. Sebab sewaktu praktikum tempoh hari, ibu ada menceritakan bahawa ibu dan ayah ada terserempak dengan mak dan ayah Aima di kedai makan sewaktu sarapan pagi.

Ibu: Hah, ibu jumpa mak Aiman hari tu. Mak dia tanya pasal Hah.
Saya: Owh.. Aima ngajar kat mana sekarang?
Ibu: Desa Skudai. Mak Aiman cakap nak masuk minang ni.
Saya: Hahaha :)) Ibu ni, orang cakap gurau-gurau pun ibu nak percaya.
Ibu: Kalau betul-betul macam mana.
Saya:Tak adanye lah.

Sepanjang saya belajar, ibu memang ada bertanya saya tentang kawan lelaki. Haha:)) Setiap persoalan ibu akan menjadi bahan gurauan saya. Walaupun bernada gurauan sebanrnya ada juga saya serius. Antara dailog yang masih segar dalam ingatan " Sesiapa yang masuk minang, ibu terima je lah, Hah taknak bercinta."

Persoalan ibu dan mak Aima itu berlalu begitu saja. Lebih-lebih lagi sewaktu itu sibuk memegang amanah sebagai guru praktikum. Memang tiada masa saya untuk berfikir jauh seperti itu. Lebih-lebih lagi zaman praktikum saya adalah zaman saya ber'enjoy' dengan tugas juga ber'enjoy' dengan kawan-kawan.


Sewaktu praktikum itulah ada juga kenalan yang mahu memperkenalkan saya dengan si folan dan si folan. Saya selalu cakap dengan kawan-kawan yang mahu memperkenalkan, saya tak mahu 'berkawan' dengan orang. Perkataan 'berkawan' antara lelaki n perempuan, saya sudah percaya ia membawa maksud yang lain. Saya mahu orang itu terus masuk meminang. Saya tak suka pada hubungan yang sia-sia dan melekakan. Saya ini orangnya tidak cantik, jadi saya mempunyai keyakinan diri yg sgt rendah. Saya percaya siapa saja jodoh saya, itu telah ditetapkan oleh Allah.

Saya menikmati kehidupan bujang di Kuantan sewaktu praktikum.


Seusai bersarapan, ayah beredar kerana pagi hujung minggu itu ayah ada kelas. Ibu bertanya dengan saya secara serius... saya hanya mampu mengulang, "Sesiapa yang masuk meminang, saya akan terima". Wow... haha... saya boleh jawab macam tu je.