Kisah ini mungkin kisah saya. Kisah penuh peribadi. Boleh jadi tidak akan sesiapa mengerti. Juga tidak akan ada sesiapa peduli. Masing-masing dalam hidup punya cerita, mengapa mahu baca cerita orang lain? Tidak mengapa, saya cuma akan bercerita kepada yang mahu tahu. Barangkali ada pengajaran, barangkali terdapat sesuatu.~Salsabila Fahim :Tunggu Teduh Dulu: Faisal Tehrani~


Showing posts with label calit coret. Show all posts
Showing posts with label calit coret. Show all posts

Thursday, September 8, 2011

Selamat Hari Raya

Kesibukan yang melanda sepanjang Ramadhan lalu, langsung tak ada kesempatan nak update blog. Sedar-sedar sudah Syawal.
SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI. MAAF ZAHIR DAN BATIN.






Naik-naik raya, hari pertama sekolah ada taklimat Strategi 28 hari sebelum PMR. Fush!!! Gementarnya. Anak murid nak periksa, cikgu yang kecut perut. Bukan apa, saya terfikir sudah cukupkah apa yang saya buat untuk pelajar saya. Dengan hanya berbekalkan pengalaman semasa praktikum berbanding cikgu senior yang lain. Dan saya akui target yang paling teruk saya tak dapat capai ialah meluluskan semua pelajar 3 F untuk subjek sains semasa percubaan. Teruk sangat saya mengajar agaknya? Pelajar 3 F adalah kelas wajib lulus semua pelajarnya... :( Untuk 3 C, okaylah semua lulus. Cuma ada beberapa pelajar yang perlu diberi perhatian untuk dinaikkan gred. 3J pula pun okaylah, juga sudah dikenal pasti beberapa pelajar untuk suntikan lagi. Saya keletihan dalam hitungan hari PMR. Hari-hari pulang lewat dari sekolah. Jam 1.30 hingga jam 3.00 setiap hari saya berada di pusat sumber utuk memberikan sedikit latihan untuk pelajar memerlukan. Sampai rumah dah pukul 4... memang amat keletihan. Tak mengapa tinggal tidak sampai sebulan lagi sebelum PMR ~_~


Rindunya nak jalan raya dengan kawan-kawan . Tapi sibuk, memang tak sempat. Kawan nak datang rumah pun rasa macam segan je.. Rumah tengah bersepah.

Monday, July 25, 2011

ujian....

Sebenarnya saya nak tulis tentang lain... tetapi sebab ini cerita masih lagi panas... sy tergerakk untuk mencuri sedikit masa untuk update blog :)

Sabtu yang lepas saya terlibat dalam kemalangan. :( Alhamdulilllah tiada kecedaraan yang berlaku. Hanya kereta ayah saya yang hancur... huhu. Jadi habis seharian sabtu saya dengan urusan kemalangan dan tak tertunailah harapan saya nak update blog sabtu lepas.

Sedang-sedang saya bersembang dengan ayah dan ibu di dalam kereta dalam perjalanan dari Pulai Perdana ke Plentong, kereta di highway Pasir Gudang bergerak perlahan kerana jalan raya dilimpahi ribuan kereta. Itulah kebiasaan highway Pasir Gudang. Tiba-tiba saya terperasan ayah menghampiri kereta depan lalu menjerit "kereta" dan ayah berjaya brek.... Malang tak berbau kereta belakang menghentam dengan kuat sehingga kereta ayah bergerak ke depan dan berlanngar dengan kereta depan. Saya tak berapa nak kuat semangat ni terperanjat habis dan rasa lemah. Kebetulan pula handphone ayah dari paginya simcard tak berapa baik terus mejejaskan hp. Jadi selepas itu ayah meminta hp saya. Punyalah menyelongkar handbag saya untuk cari hp untuk ambil gambar. Rupanya hp saya dah terpelanting di bawah seat driver. Sabar je la~~

Gambar sebagai kenangan.


Nampak bonet macam tak teruk... tapi satu pintu bonet kena tukar plus bahagian dalam bonet tu remuk sikit...
Alhamdulillah... ya ALLAH... KAU masih memanjangkan usiaku. Mungkin ini peringatan Allah buat saya yang selalu leka dan lalai. Mungkin Allah memberi signal kepada saya. Kesedaran yang diperolehi, mati boleh di mana-mana....

p/s: Suasana malam yang damai ini buat saya rasa nak update blog lagi dgn entry yg lain... bersekitar tentang kehidupan sy, persepsi orang ttg apa yg sdg saya lalui dan bagaimana sy berhadapannya... sekadar untuk berkongsi cerita... tapi saya perlu tidur... saya perlu segar esok untuk mengajar... Selamat Malam kawan-kawan :)

Thursday, July 21, 2011

Berblog

Saya sangat rindu untuk berblog. Tapi tiada kesempatan masa. Sibuk. Saya berdoa esok, saya mampu update dengan sebuah entry yang panjang. Kalau tidak esok mungkin lusa! Rindu~~~

Thursday, June 9, 2011

100 hari lagi

Cuti dah nak habis. Rehat dah nak berakhir. Tak berehat mana sebenarnya cuti sekolah ni. Menanda kertas exam, PEKA, study, key in markah, rekod kedatangan. Penat. Tapi. Itulah amanah. Cuma saya tak tahan bila orang disekeliling tak memahami dengan menganggap tugas guru berhenti pada cuti sekolah.

Plus kerja-kerja lain yang tak berkaitan dengan profesion saya. Buat hantaran untuk abang saya yang akan melangsungkan perkahwinannya 1 Julai ni.

Habis cuti 2 minggu ~_~ Dan naik sekolah ni saya akan jadi super sibuk. Anak-anak saya nak PMR bulan 10. Trial bulan 8. Saya pula ada 4 bab lagi nak habiskan sebelum hujung buln 7 maksudnya saya nak kena study 4 bab itu. Itu yang tugasan utama. Tak masuk tentang PEKA, PBS, hari sukan, kem..... huhu... bersabarlah wahai diri nanti dengan kesibukan itu... huhu :(

..... dan
.... 100 hari lagi dari hari ini
.... bersediakah saya?
-tadi duduk fikir-fikir kesibukan itu, tergerak hati nak kira. tengok-tengok cukup 100-

Saturday, April 23, 2011

Apa Istimewa Hari Jadi?

Khamis lalu genaplah usia saya mencapai 24 tahun mengikut kalendar masihi. Sekiranya Allah panjang kan lagi usia ku setahun lagi hingga ke tahun depan cukup suku abad -saya di Bumi.

Apa istimewanya hari ulang tahun kelahiran? Dulu masa kecil-kecil, setiap kali hari jadi, ibu akan bagi hadiah. Telekung, tabung, pencil box, jam... Itu masa kecil....

Tahun ini...

Cikgu, hari ni awak besday? so, sebagai hadiah untuk awak, hari ini kita tak payah belajar leyh...
Mana boleh... kena belajar. mana boleh tak belajar.
Walauwei! cikgu, saya bagi hadiah awak, awak tak mau angkat leyh.
Tak mau lah....
[Budak-budak ni... Kadang-kadang kelakar membuat kita ketawa. Kadang-kadang nakal buat kita marah. Kadang-kadang tak dengar cakap buat kita naik darah]



Apa istimewanya hari jadi... Sebenarnya ia disambut untuk menghargai dan rasa bersyukurnya kita diberi nikmat untuk masih lagi dipanjangkan usia sehingga mampu mencapai ulang tahun itu... Tetapi sebenarnya teringatkah kita? Setiap kali kita menyambut ulang tahun kelahiran, semakin pendek usia kita di Bumi.

Saturday, April 9, 2011

Pindah?

Lamanya tak update... Entry pertama untuk bulan 4 :)

Sekarang ni cikgu-cikgu ramai duduk bercerita tentang pindah disebabkan permohonan pindah online boleh dibuat sekarang sehingga 14/4. Ramailah yang berhajat menghantar borang pindah...

A: Ha... Raihah ko pun nak pindah jugak ke?
B: Buat masa ni tak kak, insya Allah akan datang, bila dah sah jawatan...hahaha..
C: Eleh mu ni, dah dekat peh pun nak pindah wat mende..
B: Jauh lah kak.... setengah jam pergi kalau jalan clear.
A: Ala.... rumah ko kan sama area dengan rumah Kak D. Tak jauh lah.
B: Itu Kak D. Bawak kereta mantap kak. Laju je saya tengok.
C: Lama-lama nanti laju lah mu bawak.


Di dalam bilik guru pula semasa sedang bersiap-siap nak balik. Terbuka sekali lagi kisah pindah. Kak Hidaya memang mahu berpindah mengikut suaminya yan menetap di Selangor.

NH: Kenapa Raihah boleh rasa nak pindah ek?
RR: Entah lah kak. Saya suka sekolah ni.
NH: Habis tu? Dah best napa nak pindah.
RR: Sekolah ni memang best kak. Environment rakan sekerja ok. Cuma murid nakal sikit.
NH: Masalah ngan murid tak apa... Lagi pun murid kita bertambah baik sekarang..
RR: A..ah ... orang pun tak kisah sangat dengan student. bagi orang seronok juga mengajar budak yang macam-macam ni. Cuma sekolah ni jauh lah kak..
NH: Jauh ke? Okay lah ni... Tak kan Raihah nak sekolah kat Kangkar Pulai o Taman U. Dah lah Raihah duduk sana. Dulu sekolah pun sana. Tak berkembanglah.
RR: Orang tak suka drive lah kak.
NH: Owh... ye. Raihah tak suka drive . Kenapa ye?
RR: Huhu. Sebab selepas org drive org akan rasa sngat penat.


Perbualan menjadi panjang, masuk segala bagai cerita sehingga perancangan mendatang... haha.
Saya tak suka memandu. Lagi-lagi apabila dalam kesihatan tak baik. Selalunya bila ambil clarinase, satu badan saya akan lenguh dan kebiasaannya memandu sewaktu memakan clarinase seperi memandu di awang-awangan. Rasa mcam melayang je kereta tu. Mulalah saya berangan ada LRT dari Bukit Indah ke Sri Pulai. huhu.


Saya baru diuji sikit dah lemah, dah mengeluh dah terlalu rasa terlalu sibuk.... Macam mana ya orang-orang yang lagi hebat diuji??

Sebab dah lama tak update, so entry simple macam ni pun saya nak update. Huhu... biarlah blog saya ni meriah macam masa zaman study dulu...

Ini pun memaksa diri untu update sebab dah lama sangat terbiar. Pulang saja dari rumah Pn Santha di Horizon Hill jam 10.30 malam tadi, terus berazam nak update blog setelah berjaya menghabiskan menanda kertas peperiksaan ujian 2 :) Pergi rumah terbuka Pn Santha sempena masuk rumah baru.

Sunday, December 26, 2010

Esok Sekolah :)

Esok sekolah! Yeay! Dah mula kerja.... Semangat cepatlah datang..hahaha :D

Ingat tadi nak update kisah-kisah dalam entry " Tajuk Cerita". Tapi dah melekat dekat YM dan FB chat sambil dengar ayah dan Anas mengulas tengok bola. Haha... bila gol, menjerit... tu baru 2 orang. Macam mana agaknya bila dalam stadium.

Saya kena tidur dulu. Esok masuk 7.15 am.

Wow! Kena bangun awal pagi! :)

6.30 dah nak gerak :)

Tahniah Malaysia atas kejayaan 3-0!

Saturday, December 25, 2010

Pilihan Di Tangan Kita

Minggu depan mula kerja semula =) Oh semangat, datanglah! Terasa nak cuti je lagi. Huhu... Sungguh tak bermotivasi. Harap hari pertama sekolah, semangat datang berkobar-kobar. Saya perlu hargai peluang kerja yang saya terima. Amanah yang bakal dipegang juga perlu saya tunaikan semampu mungkin. Bila fikir pasal amanah, memang! Takut terus nak bermalas-malasan. Huhuhu.... Tapi bila tengok tilam yang empuk dan laptop di atas meja. Huhuhu... tergugat!


Siang tadi saya mabuk tidur. Biasalah bila penyakit selsema sudah datang. Kepala sudah panas. Kaki sudah sejuk. Apa yang mampu saya buat. Terbaring. Itulah, akibat degil saya. Hari Selasa dan Rabu lepas makan malam dekat luar. Selasa di Restoran Dapur Istimewa Pulai Perdana dan Rabu pula di Restoran Che Mek Taman U. Saya minta tomyam campur untuk dua-dua malam tu. Memang rasa nak makan tom yam sahaja. Dalam tomyam tu ade ketam, lala, udang, sotong dan macam-macam lagi lah. Yang penting seafood tu. Masa nak makan tu ayah cakap dah, " Makan ni sedap kat tekak sekejap je rasa, lepas tu karang sakit seksa nya lama." Haha... tapi kan saya ni spesies degil tak dengar cakap. Saya order dan makan dengan mahsyuknya. Khamis tak rasa gatal dan selsema lagi. Masuk hari Jumaat, mula dah rasa tak selesa hidung. Mata, tekak, telinga, muka dan hidung dah rasa gatal. Masuk pagi tadi... terus datang lah segala bagai alahan.... selsema dan gatal-gatal. Haha.. padan muka... sendiri yang cari msalah sendiri tanggung lah kan!

Okay lah... motifnya entry kali ini. Kadang-kadang kita tahu pilihan A lagi baik untuk kita. Tapi kita pilih B sebab ikutkan hati dan rasa kita selain mungkin dipengaruhi oleh godaan syaitan. Kita selalu membuat pilihan B sebab memikirkan keseronokan/kesedapan yang sekejap sahaja :) Contohnya macam dua kisah di atas.... Jadi, bak kata orang... tepuk dada tanya iman ~_~

Tuesday, December 21, 2010

18 Disember 2010


Alhamdulillah. ~_~
18 Disember 2010 bersamaan 12 Muharam 1432 H.
Terlalu pantas masa berlalu...apa yang ditakuti sudah selesai.
Semoga semua urusan yang menyusul selepas ini dipermudahkan, diredhai dan diberkati-NYA.

p/s: Minggu depan dah start kerja... huhu... habislah masa berpoyo-poyo di internet :D

Wednesday, December 15, 2010

Tajuk Cerita

Rasa macam banyak sangat benda nak update. Tapi keadaan badan yang tak selesa menyebabkan segala keterujaaan nak menulis tak ada. Hanya mampu ber'fb' untuk update cerita dengan kawan-kawan dan adik.

Banyak perkara berlaku dalam 2-3 hari ini.
-Kisah yang saya kebosanan teman orang pergi beli DSLR selama 5 jam.
-Kisah mak lang sakit kulit dan hati keras disebabkan kesan ambil ubat kulit.
-Kisah saya terkejut yang amat sangat masa tengah chat fb dengan student.
-Kisah Pak Busu masuk icu HKL sehingga kami seharian di HKL semalam.

Insya Allah... esok saya update cerita-ceritanya :) Kalau ada kesempatan masa dan kerajinan :D

Saturday, December 11, 2010

Zaman Kegemilangan Online =P

Oh ye! Untuk mereka yang di dalam kesibukan... tak perlu baca entry ni sampai habis. Nanti ia akan mencuri masa anda yang sangat beharga sebab ini hanya entry aktiviti seharian.

Suhada Abdullah a.k.a Cu suruh saya update blog. Cu suruh update banyak-banyak. Haha... Kalau nak update banyak-banyak tunggulah saya menjadi penulis blog sepenuh masa :D

Saya masih menikmati cuti yang diberikan. Cuma untuk minggu depan saya akan agak sibuk membuat persiapan untuk sesuatu perkara. Doakan semuanya berjalan dengan baik. :)

Semalam... sepetang saya membaca blog-blog yang saya minati yang dah lama saya tak lawati. Sungguh! Kehidupan adalah sesuatu yang sentiasa bergerak. Mana taknya... blog yang dah setahun saya tak baca pun saya buka dan baca! Dan banyak sungguh perkembangan mereka yang saya tak tahu. Ada yang daripada jadi student da bekerja (sama macam saya). Ada yang dari single dah berkahwin (ini saya belum lagi). Ada dulu anak seorang sekarang dah dua (ini lagilah saya belum lagi). Ada yang dulu mempunyai seorang cucu sekarang dah ada 2 cucu (ini pun lagilah saya belum lagi). Ada yang dulu duduk oversea sekarang dah balik (bila yer saya dapat pergi over sea). Ada yang dulu bla... bla... bla... haha..

Huhuhu... saya masih ingat zaman kegilaan saya membaca blog. Teman sebilik tahu kegilaan saya ber'online'. Fana sangat arif dengan perangai saya. Saya sangat bahagia bila dapat membaca blog-blog yang best. Saya hanya suka menjadi silent reader. Kalau tak silap hanya dua blog sahaja yang saya jalinkan persahabatan dan bertegur sapa di blog mereka. Seterusnya, melalui pembacaan menjadikan ia sumber inspirasi saya untuk menjadi seorang yang lebih baik... insya Allah.

Kalau teman-teman yang lain lebih suka menonton movi, download lagu, mahupun bergayut di telefon. Pada waktu itu, saya adalah dengan dunia saya bersama laptop dan talian internet. Saya boleh sedih, terkejut, gembira, ketawa dan macam-macam lagi. Saya boleh habiskan masa sehari semalam tanpa buat aktiviti lain hanya dengan meng'online'kan diri di blog-blog, ym dan fs (zaman dulu skrg fb). Fuuuuhhh! Dahsyatnya saya... Sekarang ni bila dah duduk rumah famili, nak online kena control sikitlah. Haahahaha :)

Semester 1
Laptop pertamaku :) Tinggal kenangan :(
Sila abaikan bilangan makanan yang lebih banyak dari bilangan buku =P



Mood sekarang: Merindui zaman kegemilangan online saya sewaktu di UPSI dulu... Rindu hari-hari baca blog orang. Rindu nak ym dengan kawan-kawan. Sekarang boleh buat macam tu. Cuma kurangg masa dan privacy. Mana boleh samakan duduk rumah bujang dengan duduk rumah family kan?



Wednesday, December 8, 2010

Cuti & Mahu bercuti!

Selamat Tahun Baru 1432 H! Hari ini 2 Muharram... Pagi yang tenang (~_~) Cuaca mendung-mendung saja. Oh ye, kalau ikut tahun hijriah... umur saya sekarang 24 tahun 4 bulan. Tapi kalau ikut kalendar Masihi umur saya baru 23 tahun 7 bulan. Masih dikira remaja lagikah? Huhu...

Sekarang tengah bercuti. Tinggal 20 hari je lagi cuti ini. Selepas ini sudah mula bekerja (>_<) Bila bercuti ni terasa nak sangat pergi jalan-jalan. Huhu... Tapi macam tak je kan nak pergi bercuti. Ayah ibu kerja. Nak jalan ngan kawan, gaji pun belum ada. Setakat ini rancangan terdekat nak pergi Kelantan raya Cina tahun depan [tahun depan tau!]. Itupun tak tahu dapat kebenaran dari ibu ke tak (-__-). Hari itu masa saja-saja tanya ibu, ibu jawab acuh tak acuh je. Tapi, seriously... saya nak pergi! Berkebetulan ada hari istimewa salah seorang akak serumah masa praktikum hari tu. Inilah kesempatan nak jumpa dengan teman serumahku sewaktu praktikum hari tu. Oh, itu cerita lambat lagi, yang penting... kita merancang dan Allah tahu yang terbaik buat hamba-NYA. Mood sepanjang cuti ni adalah nak pergi bercuti, walaupun saya tahu ia tak mungkin terjadi :(


Bukan semua apa yang kita mahu dalam hidup ini akan kita perolehi. Memang benar, kita boleh mengusahakan apa yang kita mahu. Berusaha bersungguh-sungguh... Kerana di situ membuktikan kebersengguhannya kita dalam mendapatkan apa yang kita mahu. Selepas berusaha dengan berhempas pulas, kita diajar untuk berdoa. Berdoa dengan penuh merendah diri serta penuh pengharapan agar Allah makbulkan doa kita. Orang yang kuat ialah orang yang mengaku lemah di hadapan Allah. Dan cara mengaku lemah di hadapan Allah adalah dengan selalu berdoa kepadaNya.. Seterusnya.... akhirnya kita perlu tahu. Sebagai orang Islam kita perlu punya rasa tawakal. Rasa penyerahan kepada-Nya kerana Dia tahu yang terbaik buat hambaNya... Orang yang lemah akan mendapat kekuatan apabila mampu mendidik hati untuk tawakal.

Owh.... simpanlah dulu rasa nak bercuti ni.... Sabar ye Raihah ... Tunggu cuti sekolah akan datang. Huhu... (-_____-)


Ini gambar dua orang budak comel tengah pijak ayah masa balik kampung raya haji hari tu :) Syahmi n Yusuf. Sangat rajin.

Ayah: Syahmi, tolong gop pijak ayah we.
Syahmi: Ada upoh dok?

Haihhh~~ budak-budak zaman sekarang...

Thursday, December 2, 2010

Tentang Sekolah

Che Ma sekeluarga dah balik. Anas pun dah keluar ke Batu Pahat. Sunyi.Semalam lepas makan bawa Che Ma sekeluarga jalan-jalan kat Danga Bay.

Oh ye... sebenarnya banyak je lagi kerja yang kena dibuat. Huhuhu... Saya kena baca balik buku sains lah. Apa yang saya dapat tahu, saya bakal mengajar sesi pagi. Saya kemungkinan besar akan mengajar sains tigkatan 3 sebanyak 3 kelas dan pendidikan sivik sebanyak 5 kelas. Tetapi, jadual itu belum pasti. Sekolah masih menunggu lagi cikgu-cikgu yang bakal ditukar ke sekolah ini kerana masih lagi kekurangan seramai 19 orang guru.

Antara kami berlapan cikgu baru, 2 akan mengajar di sesi pagi dan selebihnya di sesi petang. Sebenarnya memang pada mulanya saya berharap saya akan dapat mengajar pagi, tetapi bila pihak pentadbiran memberitahu yang cikgu petang yang ramai pindah. Saya setkan minda dan menyedapkan hati dengan meletakkan pelbagai faktor kebaikan apabila mengajar petang. Apabila taklimat,saya dan Ayu (cikgu matematik) ditugaskan untuk mengajar sesi pagi. Oh! setkan kembali otak supaya menerima untuk mengajar sesi pagi.

Nampaknya, 6.30pagilah saya bergerak dari rumah...uhuk... :( Tapi saya gembira sebab sekurang-kurangnya saya dapat mengajar opsyen saya walaupun bukan fizik. Setidak-tidaknya masih sains. Berbanding kawan yang lain kena ajar bahasa melayu sebab sekolah kekurangan cikgu bahasa melayu juga ada kawan yang kena mengajar amalan bahasa melayu di peralihan. Oh... bersyukurlah.... Alhamdulillah~~~

Setakat ni sempatlah mendengar beberapa taklimat. 70% pelajar sekolah ini adalah berbangsa cina. Patut pun masa hari ke-2 datang sekolah lalu tepi pelajar SPM, saya tercari-cari di manakah pelajar melayu. Sekolah ni dibuka tahun 2004, kiranya masih baru, jadi tahap disiplin masih yang perlu diperelokkan. Dalam salah satu taklimat, ada cikgu bagi tahu yang kena berhati-hati . Jangan sentuh pelajar jika hendak mendenda dan jangan biarkan sampai mereka rasa terabai di dalam kelas walaupun sebenarnya mereka yang tak nak belajar. Mengajarlah dengan bersungguh-sungguh walaupun gaya mereka tak nak belajar. Bertindaklah dengan profesional sebab pelajar sekolah sangat suka buat surat layang dan hantar ke sekolah ada juga sampai melayang ke PPD dan JPN juga media. Saya berfikir-fikir.... mampukah saya mengawal kelas. Oh... takutnya... :'(

Apa-apa pun saya dah mula sukakan sekolah ni walaupun pada asalnya saya rasa macam sedih je dapat sekolah ni. Bilik guru sekolah ni cantik sebab sekolah baru. Kawan-kawan cikgu baru yang seramai 8 orang ini semuanya okay, segala urusan borang-borang, laporan orientasi dan hal kami saling membantu dan bersama. Setakat beberapa cikgu yang kami jumpa nampak okay. Staf sokongan juga baik-baik. Harap-haraplah semua kondisi mendatang juga okay. Tapi saya percaya pasti akan ada juga cabaran yang akan datang.

Wednesday, December 1, 2010

Semalam Punya Cerita

Alhamdulillah... hari ini dah kembali bercuti sehingga 26 hb ini. Ingatkan hari ni nak balik Terengganun sebab nak hantar Amin balik. Tapi malam semalam Che Ma sekeluarga sampai untuk menjemput Amin. Jadi hari ini rumah meriah. ~_~

Semalam saya 12 jam berada di luar rumah. Pagi pukul 7 dah keluar dari rumah bergerak ke sekolah. 7.30 dah sampai sekolah. Pagi itu ada taklimat sedikit tentang tugas dan peranan ketua bidang, guru panitia dan guru mata pelajaran yang disampaikan oleh PK 1. Selepas itu kami siapkan laporan orientasi seminggu untuk dihantar. Jam 1 tengah hari kami bertujuh keluar makan [Oh ye! Wong dah selamat bersalin Sabtu lepas. Baby boy. Selain itu ada seorang lagi cikgu berbangsa Cina masuk. Eileen namanya. Eileen tukar dari SMKTD atas alasan sekolah itu jauh dari rumahnya] Lokasi makanan kami di Tesco. Bukan apa, kawasan Bukit Indah ni memang susah mencari kedai makan melayu berdasarkan pengalaman hari kedua kami di sini, mungkin juga sebab kami belum biasa dengan keadaan di situ.

Di Tesco masing-masing menempah makanan. Berkebetulan saya tak berasa nak makan sebab saya sudah bersarapan di rumah berbanding kawan-kawan lain yang tak bersarapan pagi tadi. Selain tu pagi tadi saya tengok ibu masak ikan cencaru bakar untuk menu tengah hari. Jadi saya simpan perut untuk makan apabila pulang dari sekolah jam 3 nanti.

Saya terlupa yang saya dan Kak Sofi dah berjanji untuk bawa Aslam dan Hafiz ke kawasan Taman Universiti, Desa Skudai dan Mutiar Rini untuk mencari rumah. Keluar dari sekolah jam 3.30 petang terus menuju ke rumah Kak Sofi dan meletak kereta. Dan kami bergerak menggunakkan satu kereta. Dari jam 4 petang hingga 7 malam, hanya berhenti sebentar di Masjid Mutiara Rini untuk solat Asar. Sungguh menyedihkan, belum rezeki untuk berjumpa rumah yang sesuai disewa. Banyak yang kosong,tapi tak bertanda. Banyak yang bertanda, tapi untuk dijual. Ada yang bertanda untuk disewa, tapi sudah ditempah...

Hari ini mereka sambung cari lagi. Kesian sungguh mereka. Berpetang-petang mencari di kawasan Bukit Indah, Perling dan Taman U. Panggilan demi panggilan kepada tuan rumah yang mengiklankan di Mudah. my. Masih belum berjumpa. Bukan tiada, ada jumpa di Bukit Indah, tapi berdasarkan pengalaman penyewa lepas dah 3 buah kereta hilang di rumah tersebut. Dan mereka berdua tak mahu rumah flat atas alasan tertentu...

Balik rumah baru saya perasan, perut saya bukan sekadar bekeroncong lagi, heavy metal terus... huhu. Baru je turun nak makan, tiba-tiba Che Ma sampai. Hahah... Che Ma buat surprise...

p/s: Dan berdasarkan peristiwa semalam... saya sangat bersyukur ditempatkan di sekolah tersebut walaupun setengah jam dari rumah. [Sedih juga saya mula-mula tahu dapat kat Bukit Indah sebab tengaok Nik dan Fana yang duduk Taman U dapat Mutiara Rini dan Kangkar Pulai]. Dan saya bersyukur boleh duduk dengan keluarga walaupun saya terasa kekangan-kekangan tertentu apabilla duduk bersama keluraga tak seperti duduk di rumah bujang dulu... Oh Raihah... belajarlah untuk bersyukur ....

Wednesday, November 24, 2010

Sekolah Pertama...

Alhamdulillah. Semalam sudah selamat ditempatkan di SMKTBI. Sekolah pertama sebagai seorang guru betul. Bermula paa waktu pagi, ayah hantar ke Dewan Raya Bandar Putra Kulaijaya. Sebelum tu ambil Nik dulu dekat depan Jusco Taman U. Taklimat lama jugalah sehingga jam 1petang.Pengambilan kali ni seramai 511 GSST ditempatkan di Johor. Dapat jumpa Fana dan Kak Nani.


Selepas taklimat, berkumpul mengikut PPD. Sekolah demi sekolah dipanggil. Masing-masing bergerak sendiri. Tiba giliran sekolah saya, bercampur dengan beberapa sekolah lagi. Diarahkan terus bergerak ke sekolah. Masa ini dah tak tahu siapa yang sekolah Perling, Selesa Jaya mahu pun Bukit Indah. Sebab dah bercampur-campur. Kebetulan bertegur dengan Wong, dan Wong mengajak menumpang keretanya sekali. Suami Wong sudah tunggu di luar. Kami terus bergerak ke sekolah.

Di sekolah, berjumpa dengan PK 1. PK 1 di sekolah ni adalah penyelia petang masa saya bersekolah dulu. Terus mengisi borang-borang yang perlu sambil menunggu rakan-rakan yang lain. Menghampiri jam 4, kesemua seramai 7 orang GSST baru sudah tiba. 3UPSI-2 Fizik &1 Moral, 1UTM-K.H, 1UKM-Maths, 1UPM-BM dan 1UTHM-MPV. Diberi serba sedikit taklimat dan diberi kelepasan hari ini untuk menyiapkan KWSP dan akuan sumpah. Jam 5 pulang ke rumah, ayah dah tunggu di luar sekolah. Sampai di rumah rasa sudah sangat letih. Huhuhu.. Dah lama tak sibuk...

Pagi tadi saya memandu ke sekolah, semestinya ada ayah di sebelah. Huhu. Sampai dah nak dekat pukul 8. Jumpa Ayu. Tak berapa lama lepas tu Fazla dan Kak Sofi sampai. Tunggu lagi 2 orang lelaki. Kedua-duanya dari Kelantan, karang kalau tinggal sesat pula mereka. Pukul 8 Aslam bagi tahu yang dia baru sampai Machap. Huh! Sabar je la. Pukul 9 baru sampai depan sekolah. Seorang diri, ingatkan datang dengan Hafiz. Rupanya Hafiz kat rumah kawan di Desa Cemerlang, Tebrau dan tak ada kenderaan nak ke sekolah. Huh! Sabar lagi! Sabar, sabar dan sabar. Nak buat macam mana, mereka masih tiada rumah. Tapi dalam kereta Fazla bising jugalah kami. Pukul 10 lebih baru sampai JB. Saya dan Kak Sofi orang JB, jadi tahu-tahu ayam jugalah jalan dr Bukit Indah ke Desa Cemerlang ke KWSP. Selesai urusan KWSP, akuan sumpah dan bank pergi Taman U makan dan fotostat. Betapa berpusing-pusingnya kami, sampai boleh lalu ketiga-tiga Jusco. Jusco Bukit Indah, Jusco Tebrau City, Jusco Taman U. Selesaikan semua urusan sebab kesian kat kawan-kawan yang baru di sini., masih kabur dengan jalan-jalan dan tiada kenderaan. Jam dah menunjukkan pukul 3, saya call ayah minta tolong ambil di depan Rainbow. Kawan-kawan yang lain Kak Sofi yang tolong tunjukkan jalan pulang. Penat sungguh hari ini.

Esok kena pergi sekolah lagi. Tadi ayah cakap, esok boleh pandu sendiri. Takut meyh! Tapi kalau tak cuba sampai bila nak berani. Huhu.

Terfikir-fikir dapat mengajar subjek apakah? Rasanya Fizik macam tak mungkin. Lebih-lebih lagi dah diberi tahu yang kemungkinan besar kami akan mengajar sesi petang.

Pagi tadi saya rasa macam mengulangi kisah-kisah pagi masa zaman saya bersekolah je. Pagi-pagi ayah kejut bangun tidur sebelum ayah pergi masjid. Sarapan.rTolong ibu kemas rak. Jemur kain. Bersiap ke sekolah. Salam ibu. Ayah hantar . Salam ayah. Huhu... semua tu benda yang saya buat 5 tahun lalu. Kenangan yang diulang. Cuma dulu status saya pelajar, sekarang status sebgai seorang guru.

Monday, November 15, 2010

Salam Eiduladha ~_~

Malam ini dan 9 Zulhijjah... Tapi kalau kat Makkah, esok dah raya. --_-- Sekejap saja masa berlalu. Sudah di bulan terakhir dalam kalendar Hijrah. Esok petang balik raya. Balik Terengganu! G.E.M.B.I.R.A. ~_~ Tapi, Syahmi tak ada. Raya haji giliran Syahmi beraya dengan abahnya pula setelah raya aidilfitri hari tu dah beraya dengan uminya. S.E.D.I.H. :''( Tapi tak pa, sempat kot jumpa Syahmi sehari! =)



************************

Syahmi kata dia tengah naik kapal terbang betul-betul. Haha... budak-budak.

Syahmi: Kak Hah, tangkap gambar. Syahmi nak tunjuk ke ummi Syahmi naik kapala terbang.
Saya: Okay. Tapi ni bukan kapal terbang betul-betul. Ni main-main punya.
Syahmi: Ni kapal terbang betullah. Kalau main-main tu yg kecil, boleh pegang pakai tangan.
Saya: Owhhh... ok! Cepat ambil gambar.

*************************

Untuk perkongsian bersama :-). Sumber : sini.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Panduan Amalan Pada Musim EidulAdha

EidulAdha ialah hari kesepuluh dari bulan Zulhijjah. Ia melambangkan pengorbanan manusia di dalam mengejar keredhaan Tuhan yang Maha Mencipta, seperti pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. bersama anaknya Nabi Isma’il a.s. Ia juga adalah musim ibadat bagi tetamu-tetamu Allah di tanah suci. Musim EidulAdha adalah peluang seseorang Muslim mendekatkan diri dengan Allah s.w.t. dengan melahirkan keinsafan dan keihsanan.

Islam mensyariatkan beberapa amalan murni pada musim ini. Di antaranya adalah:

i. Bertakbir, bertahmid dan bertahlil kepada Allah, serta berselawat ke atas Baginda Rasulullah S.A.W. bermula dari subuh hari Arafah (9 Zulhijjah) sehingga waktu Asar hari tasyriq yang terakhir (13 Zulhijjah). Ini berdasarkan Hadith Jabir r.a. yang bermaksud bahawa “Sesungguhnya Rasulullah S.A.W. bertakbir pada solat Fajar hari Arafah, sehingga waktu Asar daripada hari tasyriq yang terakhir, selepas Baginda memberi salam dari solat fardhu.” (riwayat Ad-Daruqutni)

ii. Melaksanakan ibadat korban pada EidulAdha sehinggalah penghujung hari tasyriq. Ibadat ini mengingatkan masyarakat Islam untuk sentiasa bersifat ikhlas dan bertaqwa kepada Allah s.w.t. Ibadat ini juga dapat merapatkan hubungan dan menyebarkan kasih sayang di antara manusia, dengan perkongsian daging bersama mereka yang memerlukan, keluarga, sahabat dan jiran tetangga.

iii. Puasa sunat pada hari Arafah. Sabda Baginda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud : "Puasa pada hari Arafah itu menghapuskan dosa tahun yang lalu dan tahun yang akan datang." (Hadis riwayat Muslim). Hari Arafah adalah bertepatan dengan 9 Zulhijjah. Tidak ada dalil syarak yang menetapkan bahawa puasa Arafah mesti dilakukan serentak dengan masa wukuf jemaah haji di Arafah. Sebaliknya, ia disunatkan pada tanggal 9 Zulhijjah. Bahkan, dengan bentuk dunia yang bulat dan perbezaan waktu, puasa yang dilakukan di benua dan rantau selain dari tanah suci, tidak akan dapat dijalankan serentak dengan wuquf, walau dilaksanakan pada hari wuquf itu sendiri.

Semoga Allah mengurniakan masyarakat Islam dengan EidulAdha yang diberkati, dan menganugerahkan jemaah haji dengan haji yang mabrur. Amin.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~


Tiba-tiba teringat Ramadhan tahun lepas. Rajin bebenar upload video clip kat blog. Tahun ni tak ada. Laptop baru je boleh tengok video bulan lepas. Kalau sebelum ni, memang tk dapat tengok video. Ada problem apa ntah. Sejak dapat tengok video bulan lepas, habis tengok video2 orang katFB....huhu. Khatam!


Rasanya ni terakhir update blog sebelum 10 Zulhijjah. Sebab petang esok balik kampung sampai Ahad @ Isnin depan. Dan Selasa terus pergi melapor diri.

Selamat Menyambut EidulAdha 1431H!

Thursday, November 11, 2010

::Surat Dari JPN::


Pagi ini sungguh tenang. Seusai membuat tugasan rutin, saya duduk sebentar di sisi katil. Tengok cahaya yang menerobosi tingkap, melepasi kain langsir. Melihat jam di tangan dah menunjukkan jam 10. Dalam kepala terfikir, apakah yang nak buat seterusnya. Tetiba teringat nak menghabiskan novel ke-2 yang Eca bg pinjam. Dalam kepala bermain-main ayat " Owh.... masa beristirehat ni, nanti dah kerja bulan depan tak dapat dah." Lepas tu kepala saya kembali menyangkal. " Eh, jangan berharap sangat. Nanti kalau x dapat frust pula". Huhuhuh...

Melabuhkan kepala di katil dan mencapai novel di atas katil. Sejak katil ni jadi milikku seorang, sebelah tu jadi tempat letak buku yang dlm proses pembacaan. Adalah 2@3 buah buku. Huhu.... ibu bising juga. Tapi bisalah ada je jawapan bernasku. Buka lampu dan kipas. Pakai stokin, buka selimut. Sejak bulan lepas, selalu sarungkan stokin di kaki bila baring sebab selalu sangat tapak kaki jadi sejuk yang ekstrim. Novel itu pun dibuka. Dalam kepala berfikir lagi. "Bestnye berhibernasi macam ni." Kalau ibu nampak ni sah-sah ibu berbunyi. Dahlah siang hari berbaring siap berselimut. Huhu..

Khusyuk sangat membaca. Sedar-sedar dah jam 11. Hari ini tak payah masak. Ibu ada kursus. Ayah pula makan kat luar sebab ayah kata tak bebaloi nak masak untuk ayah makan seorang tengah hari ini. Malam nanti ibu kata nak belanja makan. Hari ini birthday ayah. 11 November. Pembacaan diteruskan. Cuaca diluar, kadang-kadang gelap,kadang-kadang cerah. Berjaga-jaga juga. Sebab kain jemuran di luar.

"Ting tong"

Eh... bunyi loceng. Orang jual ke. Malas pula nk turun. Eh sekali posman hantar gambar konvo. Nak kena sign kot.

Berlari ak menuruni tangga. Jengah di tingkap. Yup. Posman. Apa lagi sarung blouse dan pakai tudung. Posman pun hulurkan surat untuk ditandtangan. Tengok nama. Laa... surat ayah. Kembalikan pen dan posman bagi surat lain.

"Eh! Ada nama aku la. Pejabat Pendidikan."

Terus buka surat.

"Eh. GSTT. Eh. Kenapalah baru nak bagi aku jadi cikgu ganti. Isnin depan dah nak dapat posting. Eh. Tapi aku mohon dulu guru ganti bukan GSTT."

Baca balik semula surat.

"Guru Sandaran Siswazah Terlatih. Guru Sandaran Siswazah Terlatih. Guru Sandaran Siswazah Terlatih."

Cukup 3 kali. Baca surat sampai habis.

"Ya Allah.... Alhamdulillah"


~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Masa cuti ni selalu ym ngan Fana. Selalu sembang tentang posting. Kami selalu berangan dapat luar Johor. Nak rasa duduk jauh dulu. Pas tu dua tiga tahun baru balik Johor. Hahahaa.... Kalau dengan Azaty, selalu berangan dapat Melaka. Dapat hang out sama. Hahahaha... Tapi masa apply dulu, memang ibu suruh bubuh Johor. Kan saya kata, walaupun saya degil. Tapi ada masanya saya budak baik. hahaha... [perasan mode]. Walaupun saya selalu je tak sependapat dengan ibu maksudnya ade je benda jadi isu, namun akhirnya , nampaknya, sayalah paling dekat dengan ibu ayah. Ingat satu statement ayah dulu, masa saya mula-mula masuk marikulasi.
"Aman rumah bila Hah tak ada. Tak ada orang nak bertekak dengan ibu". See! kuikuikui...

~~~~~~~~~~~~~~~~

Wednesday, November 10, 2010

::Posting::Hlovate::Autocad::

Berdebarnya... dah tak lama lagi nak tau posting. Kalau bersembang dengan kawan-kawan pun, isu perbualannya adalah posting :) Emmm... lebih kurang seminggu saja lagi. T_T Dan bermacam-macam lagi perkara yang saya tak buat! Emmm... banyak sangatlah.Hafalan. Baca buku. Novel. Belajar Autocad. Belajar jahit baju kurung.Memanik.Tugasandari Azaty. Rasa macam tak cukup je masa.... Campur tolak tugas seharian yang rutin sebagai hamba Allah, anak ayah ibu dan pekerja rumah :)Belum tambah masa berpoyo-poyo di internet +_+

Sekarang ni tengah baca novel Eca. Versus tulisan Hlovate. Best. Serius dah banyak kali tengok novel ni kat kedai buku. Tak terasa nak beli sebab tengok cover buku tu macam untuk budak-budak sekolah je kan. Sekali bila baca, best jugalah. Kisah dia best! Kisah penghijrahan skaters. Girl skater ni meninngalkan dunia streetnya atas wasiat atuknya. Namun, akhirnya berhijrah menjadi lebih baik selepas ada kesedaran diri untuk menjadi muslimah solehah dengan izin-NYA. Dan kebiasaan sebuah novel biasanya memang ada kisah cintalah. Yang bestnya novel ini, ia memaparkan kisah hidup budak biasa2 @ budak nakal kepada menjadi seorang yang baik. Ia bukan kisah budak yang memang baik. Jadi, ia boleh menjadi inspirasi untuk kita, manusia boleh berubah ~_~ Cuma penggunaan ayatnya sahaja yang kurang. Ayat-ayatnya slumber kot. Sempaoi, syok juga :D Bestlah.... banyak juga info n best quote sentences daripada buku lain o kitab lain :-) Jadi, pengajarannya: Don't judge a book by it's cover!


Sumber: sini.

Buat awak yang mahu berubah, berubahlah walaupun payah, berubahlah ke arah hidup lebih indah, hidup dan masa muda sekali cuma, sanggup nak sia-saikan tanpa redha-NYA? May Allah bless. -Hlovate-

Rasa macam nak kumpul novel-novel Hlovate lah pula. Tettt! hahaha... kena tunggu bergaji. huhu.... Rasanya sejak akhir-akhir ni memang dah jarang sangat beli novel. Novel yang terakhir beli Denyut Kasih Medik masa awl cuti hari tu. Itupun rasanya setelah setahun lebih tak membeli novel. Ini pun sekarang ibu macam dah berbunyi je. Suruh lupuskan novel-novel tu. Padahal novel tu tak lah menyemak pun, bukannya banyak, rasanya dalam 50 buah saja pun. Ibu suruh kitar semula. Mak aih~~~ sayanglah pula kan...

Dalam minggu ni belajar Autocad. Ayah ajar. Huhuhu.. belajar ngan ayah. Takut! Belajar yang simple je. Taklah sampai tahap saya boleh lukis plan rumah. Saya cakap dengan ayah cukuplah kalau dapat lukis radas makmal, litar, gambarajah matematik. Cukup dah! Bolehlah sikit-sikit. Tambah kemahiran yang perlu sementara masih ada masa.

Apa lagi ek nak tulis? hahaha... Fana suruh update selalu. Tapi idea memang kering untuk tulis. Kurang ilmu nak dikongsi. Banyak kisah seharian je.

Friday, November 5, 2010

Tiada Apa-Apa :-)

Pagi, tengah hari, petang dan malam.... online :) Huhu... jadual online pagi bermula lebih kurg pukul 10 sehingga 11.30. Tengah hari bermula dari jam 2 hingga pukul 4 lebih. Kalau petang tak buat apa-apa.... maka akan online lagi sehingga sebelum maghrib. Tapi jarang kot petang-petang sebab tu waktu riadah...hahaha... riadah lah sangat! :D Malam akan online dari jam 9 hingga ke jam 10.30 kadang-kadang sampai pukul 12. Kalau hujung minggu kurang sikit kot seabab ada yah ibu di rumah. Inilah kerja... saja nak bubuh kat sini. Nanti kalau dah kerja, mesti ini semua tinggal kenangan :) Macam sekarang ni sangat suka baca entry masa zaman student dulu T_T

Sumber dari internet.
Merindui zaman belajar dulu.

Kalau orang dulu-dulu bangun pagi buka tingkap tengok keadaan sekeliling rumah. Di zaman moden ini, bangun pagi buka window tengok keadaan sekeliling dunia menggunakan internet.

Bila duduk rumah ni komunikasi sangatlah terbatas. Cakap dengan ayah ibu je la. Jadi bila online... baru rasa luasnya pergaulan...huhu. Keselaluannya akan ber'fb' atau ber'ym' dengan Fana. Sebab kami sama-sama bekerja di rumah waktu ni :) Lagipun Fana lah teman bersembang sejak 4 tahun lalu ketika sama-sama bergelar pelajar UPSI. Fana lah rakan sekuliah juga teman sebilik. Sekarang dah naik taraf, sahabat se'online' ... :D Eh, lg seorang yang selalu juga online ialah Azaty. Tapi dia Dr.[to be] jadi sibuk sikit.

Teringat masa keluar miggu lepas dengan Fana. Pergi Jusco Taman U, lepas tu gi Danga dan destinasi terakhir pergi Angsana :) Dalam masa setengah hari boleh pergi 3 tempat. Tujuannya jalan-jalan berkebetulan Fana turun JB untuk ambil adiknya. Fana, kadang-kadang rasa macam tak sangka kan? Dulu masa form 5 kita sekelas memang tak rapat apatah lagi nak beramah mesra, boleh bilang berapa ayat je aku bercakap dengan ko dalam setahun tu. Tiba-tiba kat UPSI kita berjumpa lagi.... jadi rapat....sampai sekarang. Semoga ukhwah ni berkekalan ~_~ Mujur juga sekarang ni Fana dah pindah Kota Tinggi, kalau tak mahunya tiap-tiap minggu keluar dengan Fana.


Tengah hari Selasa lalu... Tengah online... seperti biasa FB mesti buka. Tetiba ternampak ada seorang kawan Shud pos dekat wall Shud yang dia dah dapat posting. Huhuhu... terkejut tengok. Nak tanya Shud, Shud tak online. Rasa macam nak add je kawan Shud tu, huhu... tapi seganlah pula sebab tak kenal. Terus online chat FB. Petang tu Fadli kawan sepraktikum tanya dah dapat surat ke belum. Baru lah saya faham yang dapat surat awal ni yang posting Sarawak dan Sabah. Huhuhu... patut pun... Tak apalah tunggu sampai 15 hb pun. Cuma sekarang ni set dalam kepala... "Kalau tahu dapat posting 15 hb ini alhamdulillah, kalau tak dapat tahu lagi, aku kena redha... sebab Allah tahu yang terbaik untukku".

Ohh... hari ini ddepavali! Cuti! Tapi apalah maknanya cuti untuk orang seperti saya. Saya hanya menanti raya haji sebab boleh balik kampung. Tak sabar tunggu 16 hb nak balik kampung. Petang tadi ikut ayah dan ibu pergi rumah mertua Along, abang ipar Along sakit buah pinggang, jadi ibu ajak gi ziarah. Huhu... sebenarnya malas nak g, sebab saya bukanlah seorang yang pandai bergaul. Tapi, bila ibu beria mengajak ikut... ku turuti jua. Walaupun keras kepala, dan degil ada masanya saya juga anak solehah :D huahaha :P

Selepas balik dari Batu Pahat tu, saya rasa sangat bersyukur dengan kehidupan saya. Alhamdulillah... Allah kurniakan saya dan kelurga dengan rezeki yang cukup dan juga kesihatan yang elok. Walaupun saya diuji Allah dengan asthma dan resdung.... sekurang-kurangnya saya masih sihat dan boleh hidup seperti biasa. Masih berkeupayaan melakukan kerja berbanding mereka yang kena dialisis. Saya juga bersyukur dengan nikmat kesenangan yang Allah pinjamkan kepada saya melalui ibu bapa saya. Insya Allah... lepas ni tak nak merungut dah kalau blender ke, vakum ke yg rosak.... [huhu... boleh ke?... ngee~~].


Thursday, October 14, 2010

Hujung Minggu...

Pagi yang mendamaikan ini, saya ambil kesempatan menulis. Berhenti seketika daripada pembacaan. Saya sedang menghabiskan bacaan buku 'Hebatnya Cara Rasulullah Mendidik'. Begitu perlahan momentum pembacaan saya, buku yang serius maka tumpuannya lebih berbanding dengan membaca buku fiksyen. Ada dua lagi buku yang sudah dibeli tapi belum diusik. Palestin Tak Pernah Gentar dan Formula Solat Sempurna.

Hari ini 14 Oktober 2010. 4 hari selepas tragedi jalan raya 2010. Kemalangan yang mengorbankan 12 nyawa dan ramai yang cedera di Lebuhraya Utara Selatan.

Petang itu saya dan ibu yang sudah puas berjalan-jalan di sekitar KL bergerak ke UTM Jalan Semarak menaiki teksi. Menunggu ayah yang sedang mengajar. Jam 5, ayah sudah tiba di kereta.

Ibu: Nak singgah kat Anas?
Ayah: Boleh juga. Cuba telefon dia. Boleh makan malam sekali.
Ibu: Kalau penat tak payah singgah pun tak pa. Terus balik Johor.
Ayah: Singgahlah sekejap...

Jam 6 sudah berada di bawah rumah Anas, blok ST10 Bandar Baru Bangi. Menjemput Anas lalu bergerak ke Restoran Lengkuas. Makan ringkas saja. Usai makan dan menghantar Anas pulang, jam menunjukkan pukul 7. Ayah memandu terus memasuki highway. Petang minggu itu sungguh banyak kereta, baik dari arah utara mahupun selatan.

Saya: Banyaknya kereta.
Ayah: Hujung minggu. Semua orang keluar jalan. Balik kampung. Sekarang ni semua dah dekat, ada highway.
Saya: Emmm.... Jangan jam sudah.
Ayah: Kalau smooth cam ni takpa, senang bawak. Tapi kalau ada satu kereta buat silap, memang habisla stuck ni.
Saya: Nak berhenti solat kat ne?
Ayah: Jejantas Ayer Keroh.

Selepas pada itu saya pun diam. Ayah bukanlah seorang yang suka bercakap. Ibu dah terlena ditempat duduknya.

7.45 petang, semasa itu kereta sudah melepasi Susur Keluar Pedas Linggi. Tetiba kenderaan di jalan raya berhenti. Kesesakan yang teruk. Kenderaan langsung tak bergerak. Jangkaan saya yang saya akan sampai rumah jam 10.30 memang meleset sama sekali.

Dari 7.45 malam, sehingga 8.45 malam, 9.45 malam hingga 10.45.... barulah melepasi kesesakan yang teruk itu. Rasanya sepanjang 3 jam tu tak sampai 5 kilometer pun kereta ayah bergerak. Masa itu ramai yang dalam kereta sudah keluar berjalan kaki. Semuanya ke arah tempat kemalangan. Mungkin sebab kebosanan. Ada yang dah padam enjin kereta. Ada yang keluar dan bersembang-sembang di tepi jalan. Ramai juga yang masih tidak berperi kemanusiaan menggunakan laluan kecemasan, menukarkan jalanraya yang septutnya 3 lane kepada 4 lane. Tanpa rasa bersalah,sedangkan ambulans dan JPA3 sudah beberapa kali hon untuk diberi laluan. Disebabkan tu ambulans terpaksa lalu di atas rumput dan berhimpit sekiranya ditepi jalan ada penghadang besi. Disebabkan kesukaran itu, bantuan dah tak lalu tepi lagi. Bantuan kecemasan baik ambulan, jpa3, bomba dan polis terus melalui tengah antara 4 lane itu. Jalan raya yang sepatutnya 3 lane sudah menjadi 5 lane. Itupun masih ada yang ikut belakang ambulans menyebabkan ambulans yang kemudian sangat sukar untuk lalu lagi... :((

Kemalangan yang mengerikan. Dalam sekelip mata 12 nyawa hilang. Macam-macam kisah di sebalik mangsa-mangsa kemalangan tersebut. Salah seorangnya adalah pelajar UPSI yang akan berkonvo Jumaat ini. Ada juga seorang bekas pelatih PLKN yang pertama kali naik bas untuk berjumpa dengan rakannya. Itulah yang telah ditakdirkan. Sesungguhnya, kematian itu pasti akan hadir. Tidak akan lewat, juga tidak akan cepat. Ia datang seperti yang telah ditetapkan oleh-NYA yang kita sendiri tak tahu bila...

Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh.
Maksud Ayat 78 Surah An-Nisa'
[4:78]


Itu kisah hujung minggu lalu. Insya Allah, petang Jumaat ini ke KL lagi, sebab Sabtu petang saya berkonvo. Tak ada perasaan sungguh nak konvo. Nak kata gembira tak, nak kata sedih pun tak. Haha... tak tau lah.


p/s: Malam tadi chatting dengan Kak Diha di FB. Kak Diha akan berangkat Selasa ini ke Sarawak. Kak Diha ditempatkan di politeknik sebab Kak Diha dulu adalah pemegang biasiswa KPTM. Macam itu juga dengan Kak Dila, Kak Diba n Kak Ainul. Tahniah akak-akakku! ~_~ Bestnya! Dah nak mula kerja:)