Kisah ini mungkin kisah saya. Kisah penuh peribadi. Boleh jadi tidak akan sesiapa mengerti. Juga tidak akan ada sesiapa peduli. Masing-masing dalam hidup punya cerita, mengapa mahu baca cerita orang lain? Tidak mengapa, saya cuma akan bercerita kepada yang mahu tahu. Barangkali ada pengajaran, barangkali terdapat sesuatu.~Salsabila Fahim :Tunggu Teduh Dulu: Faisal Tehrani~


Showing posts with label kehidupan bekerja. Show all posts
Showing posts with label kehidupan bekerja. Show all posts

Saturday, September 24, 2011

*PUAN*

Alhamdulillah. Kini saya sudah bertukar status. Selangkah lagi memasuki fasa baru dalam kehidupan. Tiada lagi gelaran CIK untuk saya. Segalanya bertukar pada pagi Sabtu , 17 September 2011 yang lalu.

Dinikahkan pagi, lebih kurang jam 8.30 pagi dan disebelah tengah harinya majlis perkahwinan saya disekalikan dengan majlis sambut menantu abang saya.

Saya mula bercuti pada hari Khamis 15 September 2011 dan berakhir cuti pada 19 September 2011. Perkahwinan saya antara waktu yang paling mencabar untuk saya . Mana tidaknya, pada waktu saya menyiapkan persiapan akhir perkahwinan, saya juga sibuk menyiapkan anak pelajar saya menghadapi PMR yang kira-kira 2 minggu lagi. Juga proses penyesuaian hidup dalam fasa baru dengan insan yang baru saya kenali.

Ramai rakan berkata... -Senyap-senyap je Raihah tup-tup hantar kad kahwin. Mula bercambah ke soalan lain - Macam mana kenal? Insya Allah, berkelapangan nanti saya akan mengabadikan kisah CINTA saya di sini. Blog peribadi merakamkan kisah kehidupan saya semenjak di universiti lagi :)

Pagi Selasa memasuki kelas di sekolah, pelajar-pelajar telah menukarkan ucapan meraka. Kebiasaannya mereka akan mengucapkan SELAMAT SEJAHTERA CIKGU RAIHAH telah diganti dengan SELAMAT SEJAHTERA PUAN RAIHAH. Memang sengaja.



Thursday, June 9, 2011

100 hari lagi

Cuti dah nak habis. Rehat dah nak berakhir. Tak berehat mana sebenarnya cuti sekolah ni. Menanda kertas exam, PEKA, study, key in markah, rekod kedatangan. Penat. Tapi. Itulah amanah. Cuma saya tak tahan bila orang disekeliling tak memahami dengan menganggap tugas guru berhenti pada cuti sekolah.

Plus kerja-kerja lain yang tak berkaitan dengan profesion saya. Buat hantaran untuk abang saya yang akan melangsungkan perkahwinannya 1 Julai ni.

Habis cuti 2 minggu ~_~ Dan naik sekolah ni saya akan jadi super sibuk. Anak-anak saya nak PMR bulan 10. Trial bulan 8. Saya pula ada 4 bab lagi nak habiskan sebelum hujung buln 7 maksudnya saya nak kena study 4 bab itu. Itu yang tugasan utama. Tak masuk tentang PEKA, PBS, hari sukan, kem..... huhu... bersabarlah wahai diri nanti dengan kesibukan itu... huhu :(

..... dan
.... 100 hari lagi dari hari ini
.... bersediakah saya?
-tadi duduk fikir-fikir kesibukan itu, tergerak hati nak kira. tengok-tengok cukup 100-

Wednesday, June 1, 2011

Cuti dan Isinya

Pagi tadi dengar Dato' Fadzillah Kamsah bercakap kat MHI. Tentang anak-anak dan cuti sekolah. Dato' Fadzillah Kamsah cakap untuk cuti ini bagilah peluang anak berehat. Kalau ada homework, minta mereka buat minggu kedua. Sebab itu saya sebagai guru yang berhemah dan baik hati... setakat ni kalau cuti panjang memang tak pernah bagi homework. Sebenarnya, memang rasa hati nak bagi, tapi... tak apalah bagi mereka berehat.


Saya lebih suka setiap pelajar itu dapat menikmati nikmat zaman belajar dengan baik. Bukan hanya mengenal buku sahaja. Saya selalu sembang-sembang dengan pelajar saya, pergilah bersukan, pergilah aktiviti koko, pergi bermain dan buatlah aktiviti lain. Sebab kehidupan bukan hanya dengan ilmu di dalam buku. Kehidupan berkait rapat dengan kemahiran... dan kemahiran adalah ilmu yang sukar kita dapat dari sebuah buku.

Saya kurang mahir dalam bersosial. Itu kelemahan yang ketara. Saya dibesarkan seperti kanak-kanak lain, cuma masa zaman kanak-kanak dulu saya menggilai baca novel bersiri kanak-kanak. Bila sudah meningkat remaja, suka pula membaca novel remaja. Selain suka tengok tv dan ber'online' . Jadi agak kurang bercampur dan bergaul. Paling-paling saya akan bergaul dengan kawan sekelas je la. Kalau dah bercampur dengan orang yang saya tak rapat, saya akan menjadi pendiam. Mulut rasa macam terkunci terus [Mungkin dengan sikap sy sebegini menampakkan sy spt sombong]. Masuk zaman u, saya hanya pandai bergaul dengan kawan sekuliah, dan masa jadi ahli rexco... bolehlah sikit-sikit.

Kesannya sekarang, apabila sudah memasuki alam pekerjaan. Saya perlu bercakap, saya perlu berjumpa orang, saya perlu berkomunikasi.... Lagi-lagi bila jadi penolong s/u PBS... kena minta itu ini dengan ketua pentaksir mp. Nanti sebelum sya jumpa cikgu2 untuk minta bahan-bahan tu, saya akan tanya kak Hidayah [s/u PBS]. " Kak Dayah' macam mana ayat yg murni sikit nak minta bla..bala.. blaa...". Mula-mula KAk Dayah akan ketawa dulu, tapi nanti dia bagi la struktur ayat. Macam itu lah saya. Bukan saya tak tahu bercakap. Cuma saya sedang belajar menggunakan ayat yang lebih murni dan lebih sopan dan lebih lembut bila mahau berkomunikasi dengan rakan sekerja yang senior dan untuk meminta sesuatu bahan daripada mereka. Sebab itu dekat sekolah ini saya lebih suka diam dari bercakap. Kalau bersembang pun dengan Ayu jela ... Kadang-kadang dengan KaK Dayah, Kak Ma n Kak Jan.

Sebab itu saya suka pelajar saya menikmati zaman belajar mereka sebaiknya.

~Antara kesannya: saya dulu penyokong kuat adik saya bila adik saya menyatakan hasrat mereka mahu bermain skate. Sebab saya tak mahu adik pasif seperti saya. Sebab bila mereka skate, mereka akan bergaul... cuma itulah... scene skate di malaysia selalu dikaitkan dengan gejala negatif.... sukan skate itu okay, budaya yang dibawa oleh sesetengah skaters kurang sesuai~


Semasa minggu orientasi di sekolah tempat saya bekerja sekarang. Ini kelas APAK.. Asuhan Pendidikan Awal Kanak-Kanak.



Petang ini saya mahu pulang ke kampung halaman ayah di Terengganu....

Tuesday, May 24, 2011

Sentuh @ Pegang

Kehidupan macam biasa, kehidupan seorang guru baru yang sentiasa sibuk. Kadang-kadang rasa cemburu juga tengok rakan yang sama posting tapi di sesi petang, mereka lebih relax. Cuma saya akan menegur diri saya kembali, ujian manusia itu berbeza-beza =_=

Ini sekadar perkongsian tentang budaya sekolah saya. Mula-mula mengajar di sini dulu saya dah perasan. Mungkin di sini lebih ramai non muslim. Saya agak terkejut pada mulanya. Mana tidaknya, masa praktikum dulu tak pernah pula rasa situasi begini.

Pelajar di sini kadang-kadang memanggil atau menegur dengan mencuit bahu atau lengan. Kalau pelajar perempuan saya tak terkejut, tapi bila pelajar lelaki saya memang terkejut. Walaupun dialas dengan baju atau tudung, saya kekok. Mereka sudah 15 tahun, jauh lebih tinggi dan besar daripada saya.

Memandangkan saya cikgu sains yang turut mengajar moral dan sivik, maka saya mengambil kesempatan menerangkan dalam kedua-dua subjek tersebut. Memang dalam sivik mahupun moral ada bab khas tentang adat resam dan pantang larang.

Bersentuhan antara lelaki dan perempuan bukan muhrim adalah tidak dibenarkan. Bukan sekadar adat dan pantang larang sebenarnya. Yang lebih besar ia adalah perintah daripada Allah SWT.

Ketika saya sedang mengajar pendidikan moral di dalam kelas. Saya berdiri di tengah-tengah kelas sambil meletakkan kedua tangan saya di meja pelajar (sebenarnya saya dah kepenatan sebab masa tu da kelas masa ke 6 saya). Budaya di sekolah saya, tiada meja untuk guru di kelas. Bermaksud cikgu-cikgu memang tiada peluang untuk duduk di dalam kelas.

Saya dipanggil oleh pelajar lelaki yang berada di meja depan sekali sambil hampir hendak mencuit tangan saya, yang sempat saya alihkan. Wajah pelajar tersebut terkejut.

Arvin: Aiyooo.... cikgu kenapa cikgu?
Saya: Sory, Arvin. Kalau awak nak panggil saya, panggil saja. Tak perlu cuit tangan saya, saya boleh dengar awak panggil.
Arvin: Ala... cikgu, itu sikit saja.
Saya: Emmm.... sikit ke ... banyak ke... awak tak boleh buat macam tu... dalam agama saya itu tak dibenarkan. Awak kena faham... Boleh tak? [sambil melemparkan senyuman supaya tak menegangkan keadaan] Mungkin berbeza dengan budaya awak. Dalam budaya orang India boleh ke ?
Arvin: Orang tua-tua India pun tak suka tengok lelaki pegang perempuan...

Saya masih menyesuaikan diri dengan situasi baru. Saya anggap perbezaan budaya adalah peluang untuk saya saling memahami kepelbagaian budaya. Mungkin juga ruang untuk berdakwah... Mungkin...

Monday, May 16, 2011

-Temuduga Yang Ke-2-

Khamis lepas saya telah ditemuduga... untuk pelantikan sebagai jawatan tetap pegawai pendidik sebab sekarang saya masih dikira guru tak tetap lagi.

Dapat tahu pun agak lewat.... jumaat sebelumnya(6/5/11) dan pergi temuduga pada 12/5/11. Dengan keadaan yang agak sibuk... jadi tak sempat nak baca mana pun. Malam sebelum temuduga sahaja baru sempat membelek apa yang patut. Membelek ok... bukan membaca ... huhu.

Masuk bilik temuduga tu 5 orang sekaligus... Saya seperti biasa mempunyai darah gemuruh yang amat dahsyat menyebabkan suara menggigil... Tapi cuba juga kawal suara dan menjawab...

Antara soalannya.... Perkenalkan diri.... Teori apa yang digunakan semasa pnp... Siapa tokoh teori tersebut dan mengapa memilihnya.... 6 bidang NKRA.... Falsafah pendidikan.... Sebagai guru sains apakah tindakan anda untuk mengawal pelajar dalam makmal... Macam mana nak tarik minat pelajar terhadap pendidikan moral... Jika diberi peluang apa yang nak anda ubah di dalam sisitem pengurusan pentadbiran, apa perubahan yang anda mahukan.. ada 2/3 soalan yang saya dah lupa... huhu... Sy mmg ada masalah dalam ingat-mengingat ni...

Saya berdoa agar mendapat kelulusan dalam temuduga tersebut T_T Doakan saya...

Saja nak kongsi masa saya online di FB... kadang-kadang seorang guru tak perlu hadiah yang mahal untuk dihargai :) Cukup dengan hanya ucapan atau kata-kata menghargai peranan seorang guru.

Pelajar: hallo!!! kenapa tak datang !!!!!!!!!!!

Saya: hahah....saja... tak nak tgok muka ashley n ah fu :P [joke je... sbg ckgu tak ada istilah jemu ke sekolah]

Pelajar: ahfu tu siapa???saya prem


Saya: premraaj aka ah fu :p

Pelajar: pergi interview cakap lah~ :P hehe;) [mungkin pelajar ini telah bertanya kepada pelajar lain yg tahu kenapa sy tak dtg]

Saya: hahaha :D

Pelajar: cikgu kenapa pergi interview??? buat apa?

Saya: huhu.... utk kerja la

Pelajar: ajar kami sudah ok no nid interview :)

Saya: haha........u n ashley very notty!

Pelajar: sad :(

Saya: Penat leyh ajr budak yg notty!

Pelajar: me better then ashley loh..... then u mau buat apa?

Saya: intvw for a good job....u mmg baik...sumtimes je notty

Pelajar: teach me is ur good job =) i'm notty bcuz some time so boring mah

Saya:yes! i wish! i wish to teach as good as i can.

Saya: oooo... boring learn sc?....then u make noise

Pelajar:no....i like sn...no nid go intvw... teach me is ur good job :)

Ini pelajar kelas sains saya. Pelajar 3 C. Agak nakal... suka juga membuli saya... Kalo saya minta tolong padam papan putih, nanti selepas memadam, dia akan mellekatkan pemadam di bahagian paling atas di papan putih itu, dia tahu saya tak mampu capai... di Mungkin bagi mereka itu gurauan... Pelajar ini berbangsa India-Cina, ayahnya India, emaknya Cina tapi dia hanya mahir berbahasa mandarin...dan sangat tak mampu cakap tamil.


Saturday, April 23, 2011

Apa Istimewa Hari Jadi?

Khamis lalu genaplah usia saya mencapai 24 tahun mengikut kalendar masihi. Sekiranya Allah panjang kan lagi usia ku setahun lagi hingga ke tahun depan cukup suku abad -saya di Bumi.

Apa istimewanya hari ulang tahun kelahiran? Dulu masa kecil-kecil, setiap kali hari jadi, ibu akan bagi hadiah. Telekung, tabung, pencil box, jam... Itu masa kecil....

Tahun ini...

Cikgu, hari ni awak besday? so, sebagai hadiah untuk awak, hari ini kita tak payah belajar leyh...
Mana boleh... kena belajar. mana boleh tak belajar.
Walauwei! cikgu, saya bagi hadiah awak, awak tak mau angkat leyh.
Tak mau lah....
[Budak-budak ni... Kadang-kadang kelakar membuat kita ketawa. Kadang-kadang nakal buat kita marah. Kadang-kadang tak dengar cakap buat kita naik darah]



Apa istimewanya hari jadi... Sebenarnya ia disambut untuk menghargai dan rasa bersyukurnya kita diberi nikmat untuk masih lagi dipanjangkan usia sehingga mampu mencapai ulang tahun itu... Tetapi sebenarnya teringatkah kita? Setiap kali kita menyambut ulang tahun kelahiran, semakin pendek usia kita di Bumi.

Monday, April 18, 2011

Perhimpunan Menyentuh Hati

Ke sekolah pagi tadi hujan turun. Dalam suasana gelap ditambah hujan, memang agak menyukarkan pemanduan.... Pemikiranku melayang... huuuhh mesti beratur pehimpunan sekejap lagi kelam kabut sebab tak dapat buat di dataran dan terpaksa buat di anjung sebab hujan. Pelik juga sekolah ini, dewan ada... cuma bila hujan lebih suka beratur di anjung bersempit-sempit daripada ke dewan, mungkin ada alasan yang saya tak tahu.

Apabila loceng berbunyi saya bergegas ke bawah. Membawa buku kedatangan dan buku catatan. Selesai urusan kedatangan yang berterabur pelajar tak reti nak beratur kalau dah duduk anjung ni. Sesi perhimpunan bermula. Apa lagi kalau bukan dengan pekikan suara Pak Din (panggilan cikgu-cikgu untuk cikgu disiplin sekolah ni) baru pelajar boleh diam.

"Tahniah kerana awak semua datang ke sekolah walaupun hari hujan. Siapa basah? Meh sini saya keringkan pakai hair drier" ujar Pak Din dengar suara yang tegas.

Saya yang sedang duduk ketika itu mengimbau zaman belajar di UPSI dulu. Dulu kalau hujan, saya akan berjalan kaki sahaja untuk ke kelas dengan berpayung. Perjalanan dari jalan nusa 5 ke dewan kuliah memang agak jauh. Kalau hujan lebat, memang sempat kuyup dululah baju. Itu kalau kelas di waktu siang. Tapi kalau kelas di waktu malam, tak mungkin saya akan berjalan kaki. Sudahlah lorong itu gelap, sunyi pula. Nak tak nak, saya dan kawan-kawan akan menaiki basikal juga meredah hujan. -_- JAdi, kadang-kadang bila lalu ditepi Tadahan Utara atau Tadahan Selatan untuk mengeringkan sedikit baju yang basah saya dan kawan-kawan akan duduk di kipas air con (saya pun tak tahu nama dia ape, tapi kalau rumah yang pasang air con benda ni di letakkan dekat luar rumah tu) yang kebanyakkannya terletak di tepi dinding Tadahan Selatan dan Tadahan Utara itu. Tapi tak lah kami buat dengan gaya nak keringkan baju, kami buat gaya konon nak tunggu hujan reda untuk jalan... huhu. Kenangan~~~

Minggu ini juga minggu Pendidikan Khas kat sekolah saya. Jadi sempena perasmian tadi adalah persembahan pelajar daripada pelajar pendidikan khas. Pelajar itu nyanyikan lagu tu, not bad, suara nya merdu juga... Saya tak ingat tajuk... tapi lagu ini popular. " Tidak kupinta lahir ke dunia, Tidak kupinta cacat begini" Pelajar itu nyanyi sampai habis dan di hari mendung ramai rupanya hujan di mata guru-guru. Saya pun tak sangka saya yang dikenali manusia keras hati ni bergenang juga air mata... Ye la... pelajar istimewa menyanyikan lagi itu... memang simpati ...

Waktu ke -9 masuk 3 A ajar Pend. Moral. Terus 2,3,4 orag pelajar meluru ke arah saya. " Cikgu apa maksud lagu pagi tadi?. Kami tak faham."

Owh... kesian betul lah budak-budak ni... memang tak faham bahasa rupanya. Itu kelas A... jangan tanya kelas L. Memang masak saya dalam kelas....huhu

Friday, March 11, 2011

Selamat Bercuti !!!

Esok saya akan bercuti. Lagi 4 jam saya akan bertolak ke KL. Ayah ada kerja sampai hari Ahad. Jadi, saya, ibu, ayah dan Anis akan ke KL dan petang Ahad itu kami akan ke Terengganu. Balik kampung! Yeayyyy!!!

Saya memerlukan masa untuk berehat. Saya dapat rasa kelesuan dalam badan saya sejak mula kembali bersekolah selepas cuti raya cina lalu. Sesi persekolahan sehari demi sehari menuntut saya memberikan sepenuhnya komitmen. Keluar seawal 6 30 pagi dan tiba semula di rumah selalunya jam 5 petang serta waktu malam menghabiskan masa dengan belajar untukk perkara yang perlu diajar keesokannya. Beserta setiap hari Sabtu ada sahaja aktiviti di sekolah. Bermula dengan larian Bukit Indah, diikuti dengan sekolah ganti dan seterusnya maulidurrasul. Dan yang terakhir sekali , minggu lepas, kem pengawas. Saya memang menantikan saat ini, walaupun tadi saya membawa berbeg-beg buku yang perlu ditanda sempena cuti seminggu ini.

Saya tiada masa yang panjang. Sebenarnya saya baru balik rumah jam 10 malam tadi sedari jam 6 15 pagi keluar dari rumah. Pulang dari sekolah petang tadi terus pergi jusco membeli hadiah dan terus ke rumah Kak Dayah untuk ke majlis pernikahannya. Singgah sekejap saja, tak sempat saya nak lihat Kak dayah berubah status.... sebab badan saya dah keletihan. Baju untuk holiday esok saya tak kemas lg. Jadi pendekkan kata. Selamat Bercuti!

LARIAN BUKIT INDAH
12 FEBRUARI 2011
Saya jaga checkpoint 1.
Lokasinya dihadapan pintu pagar sekolah =)


KEM PENGAWAS
4 MAC 2011-6 MAC 2011



Saya dan ayu juga menikmati tasik UTM dengan berkayak.
Cikgu pun tak nak lepaskan peluang :D


Sunday, February 13, 2011

Nama & Panggilan


********************

"Which one, cikgu?" tanya salah seorang pelajar kepada saya.

" Haiyyyaaa, this one lah bodoh!" jawab rakannya tadi.

********************


"Woi, burger! Ambil buku kau ni!" ujar seorang pelajar di depan saya.

"Sabarlah, gemuk! Tak nampak ni." balas kawannya tadi.




*****************

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.

Maksud Ayat Surah Alhujurat Ayat 11
[49:11]


********************


"Raihah, nah ambil ni. Ada anak baru untuk awak. ", ujar kak Dayah sambil menghulurkan sekeping kertas biru kecil yang ditulis nama pelajar baru tersebut.

"Ala.. kak. Kalau saya tak nak boleh? " membalas dalam nada bergurau. Saya membaca nama pelajar tersebut. Bukan apa, saya keberatan menerima. Saya tahu ini adalah pelajar yang dibuang sekolah dan telah pergi ke kem sahsiah (tak pasti nama kem ni) dan kembali semula masuk ke sekolah. Kiranya ni memang hebat2 la budak2 ni. Cikgu-cikgu yang lain pun seakan tak menerima pelajar2 yang baru pulang dari kem tersebut.

" Waaa.... kak, orang Jepun ke budak ini?Uniknya nama dia" tanya saya.

" A... ah . budak jepun." jawab Kak Dayah.

" Wah...." dalam nada kagum.

"Laaa.... percaya ke ? Akak gurau je la."



Keesokannya saya ke kelas kesayangan saya. Bertanyakan kepada pelajar tentang pelajar baru.

" Mana pelajar baru. T*m*r* K*n Ichi." tanya saya sambil menyebut nama unik tersebut.

" Belum naik lagi cikgu, dia kat bilik kaunseling," jawab pelajar.

" Oooo.. Unik kan nama dia."

" Dia orang jepun lah cikgu."

"Ooooo.... betul lah rupanya dia orang jepun."



Pulang ke bilik guru saya terserempak dengan Kak Dayah.

"Kak, betullah budak tu orang jepun."

"Haa... kan betul."

" Tak sabar lah kak saya nak jumpa dia."

"Haih... tengok nama dah jatuh hati."

" Tak lah kak. Cuma teringin nak tengok muka jepun tu. " Saya membalas sambil ketawa. Di dalam hati saya terdetik, takut-takut bila dah mula mengajar nanti saya tak nak tengok muka pelajar tersebut. Itulah kebiasaannya bila berhadapan pelajar nakal. Saya tak sanggup berdepan dengan pelajar nakal.

Wednesday, February 2, 2011

Impian Gaji Pertama

"Fana, cantiklah aku tengok jam *****. Nantilah kalau aku dapat gaji pertama, aim aku nak beli. Jam brand impian aku." Antara dialog sewaktu bersembang-sembang dengan Fana di Tanjung Malim dulu.

Itulah antara impian yang saya simpan sebagai reward untuk diri sendiri suatu ketika dulu. Namun bila sudah dalam istilah 'dewasa' ini, rasanya impian tu dah macam tak relevan lagi.

Tahun lepas saya ada menemani kakak untuk membeli jam. Sambil-sambil itu saya mengintai juga harga jam yang saya minati tu. Emm.. sekali tengok dan mencongak-congak, oh rasanya saya perlu lebih mengutamakan yang lebih utama. Lagipun, jam yang saya pakai sekarang pemberian ayah 3 tahun lepas masih elok dan boleh dipakai. Jam yang banyak berjasa dan sangat lasak. Saya memakai jam 24 jam. Tak kiralah sewaktu membasuh kain ke, berkebun ke atau masa berendam di laut :) Alhamdulillah, jam tu sangat berkhidmat dengan baik untuk saya.

Sesungguhnya Kami telah menempatkan kamu sekalian di muka bumi dan Kami adakan bagimu di muka bumi (sumber) penghidupan. Amat sedikitlah kamu bersyukur.
Maksud Surah Al-A'raf Ayat 10
[7:10]

Sekarang tengah mengumpul duit untuk sesuatu yang lebih besar dalam hidup saya. Semoga ianya dicukupkan oleh Allah.

Duit bukannya perlu banyak bertimbun-timbun. Tetapi duit perlu berkat akan membuat kita rasa cukup.

Hidup bukan perlu menjadi mata duitan. Tetapi perlu materialistik untuk menampung kehidupan.

Sekarang ini Mesir bergolak. Dan melalui penceritaan adik saya beberapa hari lepas. Makanan amat terhad, hanya mampu beli roti, maggi dan air untuk menampung keperluan. Emm.. terasa mewahnya kita di Malaysia. Melalui perkembangan terbaru, adik saya telah berkumpul di asrama MARA di sana dan menunggu arahan seterusnya. Semoga semuanya dilindungi.



Friday, January 28, 2011

Negatif ........

12 hari blog ni tak di 'update' dan tak dijengah. Huhu. Sibuk. Sungguh. Tetekan. Kemurungan. Hoho... horlicks! Sedapnya horlicks ais... hahaha da mula ngarut.

Sedikit kemurungan sejak akhir-akhir ini. Tertekan dengan kerja yang saya rasa beratur menunggu masa untuk disiapkan. Kadang-kadang saya terfikir, lambat sangat ke saya buat kerja... sampai rasa macam tak cukup masa. Kalau lepas waktu sekolah tu, saya stay back. Sedar-sedar je dah pukul 5. Tengok berlambak lagi kerja tak siap. Lesson plan tak siap. Buku tak habis tanda. Urusan buku teks, SMM, kehadiran. Tu tak termasuk kerja PBS dan Sivik. Alhamdulillah, Kak Dayah banyak tolong. Kebetulan Kak Dayah dan saya banyak benda kena buat bersama. Sebab saya dan Kak Dayah S/U PBS dn Kak Dayah KP Sivik dan saya penolongnya. Jadi saya sangat-sangat berterima kasih kepada Kak Dayah :) Kak Dayah bukan setakat tolong tentang PBS dan Sivik sahaja...semua yang ditanya, Kak Dayah memang bersungguh-sungguh terang dan bantu.


Sedikit rasa sedih bila mengajar sivik. Huhu.. sebab sivik saya kena ajar kelas ke 7 dan 9. Dan kebanyakannya tak faham bahasa melayu dan tiada seorang pun pelajar melayu dalam kelas itu. Jadi saya rasa macam 'oh sampai ke tak apa yang saya ajar'. Suruh baca pun tersangkut-sangkut setiap perkataan. Itu baru suruh baca, tak tahulah mereka faham atau tak apa yang dibaca. Akhirnya saya rasa macam 'tak terkata'...... Sedih. Arghh! Tertekan!

Bab disiplin pula. Huuh... menguji kesabaran dan melatih vokal. Rasanya sebulan jadi cikgu betul ni, suara saya yang memang kuat ni dah pecah... hahaha:) Mana dengan yang tidur, yang tak reti duduk diam, yang bercakap tak berhenti. Yang tak bawa buku teks, yang tak siap modul, yang buku latihan hilang. Yang tak nak bawa balik buku pun ada. Mula-mula saya pun tak faham, kenapa setiap kali habis kelas pelajar mesti tanya nak hantar buku ke tak. Rupanya mereka tak suka bawa balik modul dan buku latihan balik sebab beg berat. Padahal ringan je pun modul tu. Tapi sebagai cikgu yang memahami... saya kutip jugalah modul . Jadi meja saya dipenuhi modul. Tapi ada juga kebaikannya modul mereka tak hilang dan tak akan tertinggal di rumah.


Sedikit rasa down bila pihak atasan ada bagi tahu pelajar komen cikgu guna bahasa melayu. Aku dan Ayu sama-sama kecut perut. Masalahnya saya dwibahasa. Mungkin mereka rasa saya banyak berbahasa melayu dan saya pula rasa saya dah cuba banyakkan bahasa inggeris. Mungkin bagi saya banyak sebab masa praktikum dulu isu itu tak timbul sebab pelajar saya semua melayu. Berbeza sekarang... Kesannya.... hari ni saya tibai fully english dekat kelas saya kelas yang ke-10. Habis je saya ngajar tentang human blood.... pelajar saya cakap... "Cikgu cakapa bahasa melayu lah... tak fahamlah english". Huhuh... lepas itu saya ulang balik dalam bm. Gggrrrr! Sabar je lah!

Terlalu berat saya rasa... Akhirnya mencetuskan sebuah perbualan .

Ayu: Aku rasa macam tak lama je aku kerja. Macaam tak serasi lah.
Saya: Betul lah Ayu. Aku pun rasa mcam tu...
Ayu: Kau pun macam aku jugak ke?
Saya: A..ah. Entahlah Ayu. Sekali fikir nak sambung belajar lagi. Sekali fikir aku nak duduk rumah je. Hahaha. Apalah aku ni kan...
Ayu: Tak lah Rai. Aku pun sama. Aku pun suka duduk rumah.
Saya: Aku pun percaya perempuan boleh main peranan besar bila duduk rumah.
Ayu: Aku pun nak duduk rumah..tapi.... kalau suami aku kaya la. Hahaha..
Saya: Hahahaha :))

Bila dah mula bekerja, saya perasan .... 6.30 am keluar rumah, 5.30 pm baru saya sampai rumah. Malam pun kadang-kadang siapkan apa yang patut. Saya rasa sibuk dan saya berharap saya semakin dapat menserasikan diri saya. Dan saya berharap saya dapat belajar dengan cepat supaya semkin cekap melaksanakan tugas seterusnya tidak mengambil masa yang lama untuk sesuatu kerja. Saya berharap saya dapat melaksanakan tugas sebaiknya...

Sebelum Ayu keluar dari kereta tadi, saya cakap dengan Ayu.... "Sekarang aku boleh faham kenapa ada sesetnagah orang boleh pergi office jam 8 pagi dan balik rumah lewat malam".


Allah yang menjadikan malam untuk kamu supaya kamu berehat padanya, dan menjadikan siang terang-benderang (supaya kamu berusaha). Sesungguhnya Allah sentiasa melimpah-limpah kurniaNya kepada manusia seluruhnya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.
[Maksud Ayat 61 Surah Ghafir]
[40:61]

Sunday, January 16, 2011

Cover

Kisah 1
Pelajar:Cikgu saya mahu pergi tandas.
Saya: Tak boleh.
Pelajar: Boleh lah cikgu. Cikgu cantik hari ini.
Saya: Saya memang hari-hari cantik.
Pelajar: Cikgu, boleh maa....
Saya: Duduk!
Sambil meneruskan pengajaran. Tetiba pelajar tadi berlari terus keluar kelas. 5 minit kemudian pelajar itu balik semula.
Pelajar: Cikgu, sorry... saya sudah tak tahan maa... Macam mahu pecah.
Saya: Okay.
Sambil pandang whiteboard pura-pura nak menulis tapi sebenarnya cover nak ketawa. Kesian dan kelakar bila dengar pelajar guna perkataan yang salah.



Kisah 2:
Sewaktu saya relief kelas. Kebetulan cikgu yang tak datang tu bagi kerja matematik tambahan.
Pelajar: Cikgu tak nak buat boleh tak?
Saya: Tak boleh. Buat sekarang. Nanti habis masa kena hantar.
Pelajar: Tak tahu buat lorh...
Saya: Boleh tanya saya, jangan bagi alasan.
Saya menjawab dengan yakin.. haha... pdhal dah lama tinggalkan add math. Beberapa kali soalan pelajar dapat saya jawab dan akhirnya bila sampai part yang saya rasa memang dah tak de dalam kepala otak saya, tetiba pelajar tu tanya.
Pelajar: Cikgu, ini macam mana? Saya tak tahu.
Saya: Emm... saya dah tak ingat la.
Pelajar: Haiyaa... apala cikgu ini!
Saya: Saya cikgu sains bukan cikgu math. [haha... alasan utk cover]



Cover! Huhu... dan baru-baru ini baca blog seorang bekas pelajar. Ini linknya : sini. Saya setuju dengan pelajar saya. Ini kisah bila cikgu tegur pelajar, tapi cikgu sendiri tak lakukannya. Macam mana nak berlaku pendidikan melalui teladan. Huhu... Sebenarnya perasaan dan masalah yang sama saya hadapi masa sekolah dulu. Cuma bezanya pelajar saya lebih berani bersuara walaupun hanya dalam blog. Saya mahu menjadi pendidik yang boleh mendidik melalu teladan.


Saturday, January 8, 2011

Dunia baru...

Dunia baru. Alam baru. Suasana baru. Persekitaran baru. Orang baru. Semuanya menuntut saya menjadi pelajar.

Seminggu pertama yang saya rasa cukup memenatkan tapi saya gembira. Saya sukakan kesibukan kerana saya berasa dengan kesibukan hidup saya lebih bermakna ~_~.

Saya bukanlah seorang yang pendiam, bukan juga seorang yang peramah. Saya harap dengan sikap saya yang tak banyak cakap ini tak digelar sombong. Setiap cikgu yang saya terserempak, saya rasa cukuplah sekadar sebuah senyuman. Tanda salam persaudaraan dan hormat. Tadi, ada juga cikgu cakap saya pendiam sangat. Huhu... Saya sentiasa mencuba untuk jadi peramah. Namun, ssentiasa gagal dan canggung. Jadi saya rasa lebih baik diam :)

Suasana di sekolah baru ini, jauh berbeza dengan sekolah praktikum dulu. 80 % pelajarnya berbangsa Cina. Masuk ke kelas adalah 3-4 orang pelajar Melayu. Ada juga kelas tanpa pelajar Melayu. Ucapan salam juga diganti dengan selamat sejahtera dan tanpa bacaan doa. Mengajar juga suatu cabaran. Mengajar Sains saya lebihkan penggunaan bahasa inggeris berselang seli bahasa melayu dan sangat banyak analogi yang saya perlukan untuk memahamkan pelajar. Pendidikan Moral dan juga Pendidikan Sivik saya mengajar dwibahasa. Sungguhpun begitu, masih ramai yang tak faham... akhirnya apa yang saya mampu ungkapkan.... "When you return home, find this word in your mandarin dictionary". Itu peneyelesaiaan terakhir. Kalaulah saya boleh berbahasa mandarin.... Kadang-kadang saya rasa kelakar juga bila perkataan yang senang pun mereka tak tahu. Tapi, itulah kenyataan... Apa yang menariknya pelajar Cina ni, kalau yang hormat memang sangat menghormati guru. Saya suka tengok fesyen rambut mereka , tak kiralah pelajar lelaki mahupun perempuan [poyo!]. Selain itu saya suka tengok beg-beg mereka yang cantik [poyo juga!] Juga sesetengah mereka yang berwajah korea [lagi poyo!].

Saya memegang kelas 3 Jasa. Mengajar Sains, Moral dan Sivik. Jadi selepas ini, saya akan jadi seorang yang bermoral, bersivik dan berjasa. Hohoho... Saya bersyukur kerana masih dapat mengajar opsyen sains berbanding kawan-kawan lain di sini. Juga bersyukur ditempatkan di sesi pagi walaupun terpaksa keluar rumah seawal jam 6.25 pagi dan berjumpa 18 traffic light sebelum tiba di sekolah :)

Pengalaman mengajar hari pertama. Saya sudah di'observe' oleh pegawai dari JPN. Huhu... mahu tak terkejut beruk saya! Sudah semestinya saya yang memang cepat menggelabah ni bertambah gelabah T__T Alhamdulillah... semuanya baik ~_~ Lesson plan memang sudah lengkap untuk hari itu. Huraian sukatan pelajaran, sukatan pelajaran dan rancangan pengajaran tahunan [tak sia-sia saya berhempas pula siapkan hujung minggu lepas] juga turut saya bawa ke kelas. Cuma, kekurangan hari itu marker saya kehabisan dakwat! Ces! Masa tu la dakwat nak kering. Mula-mula saya cover juga dengan menulis di gambarajah struktur sistem respiratori di kertas mahjung yang saya lukis. Namun akhirnya saya terpaksa tulis di papan putih. Nasib baik nazir tu cakap, "Tak apa, awak pergi pejabat ambil marker. Ini 2 masa." Fuuh.... saya tak turun pejabat pun. Minta dengan cikgu kelas sebelah. Hoho... Pengajaran paling baik ~_~ Habis je kelas berjumpa dengan cikgu-cikgu lain. Ramai yang bertanya...saya cakap everything okay, cuma marker buat silap...hahaha... salahkan marker =P Terus Encik Is dekat pejabat bagi marker dan duster. Mana taknya marker tak ada dakwat. Saya pakai marker zaman praktikum :D Saya memang terlupa bab marker... hanya teringat BBM saja masa nak masuk kelas.

Saya masih dalam keadaan menyesuaikan diri dengan persekitaran baru. Tidur seawal mungkin, bangun juga awal. 6.25 saya sudah berada dalam kereta. Tepat jam 7 sampai sekolah. Kalau saya bergerak 6.30, saya akan sampai sekolah jam 7.10 kerana kelewatan lima minit turut mempengruhi bilangan kereta di jalan raya. Sekolah masuk 7.15. dan hanya dibenarkan pulang jam 2. Kebiasaannya jam 3.30 baru pulang. Sampai rumah pukul 4 lebih sudah kepenatan T__T Malam pula menyiapkan apa yang patut untuk mengajar keesokan harinya. Begitulah... sebab itu saya ada alasan kukuh tak dapat update blog kesayangan saya ini. Hari ini lepaskan rindu di blog kesayangan ini :D


Sunday, December 26, 2010

Esok Sekolah :)

Esok sekolah! Yeay! Dah mula kerja.... Semangat cepatlah datang..hahaha :D

Ingat tadi nak update kisah-kisah dalam entry " Tajuk Cerita". Tapi dah melekat dekat YM dan FB chat sambil dengar ayah dan Anas mengulas tengok bola. Haha... bila gol, menjerit... tu baru 2 orang. Macam mana agaknya bila dalam stadium.

Saya kena tidur dulu. Esok masuk 7.15 am.

Wow! Kena bangun awal pagi! :)

6.30 dah nak gerak :)

Tahniah Malaysia atas kejayaan 3-0!

Thursday, December 2, 2010

Tentang Sekolah

Che Ma sekeluarga dah balik. Anas pun dah keluar ke Batu Pahat. Sunyi.Semalam lepas makan bawa Che Ma sekeluarga jalan-jalan kat Danga Bay.

Oh ye... sebenarnya banyak je lagi kerja yang kena dibuat. Huhuhu... Saya kena baca balik buku sains lah. Apa yang saya dapat tahu, saya bakal mengajar sesi pagi. Saya kemungkinan besar akan mengajar sains tigkatan 3 sebanyak 3 kelas dan pendidikan sivik sebanyak 5 kelas. Tetapi, jadual itu belum pasti. Sekolah masih menunggu lagi cikgu-cikgu yang bakal ditukar ke sekolah ini kerana masih lagi kekurangan seramai 19 orang guru.

Antara kami berlapan cikgu baru, 2 akan mengajar di sesi pagi dan selebihnya di sesi petang. Sebenarnya memang pada mulanya saya berharap saya akan dapat mengajar pagi, tetapi bila pihak pentadbiran memberitahu yang cikgu petang yang ramai pindah. Saya setkan minda dan menyedapkan hati dengan meletakkan pelbagai faktor kebaikan apabila mengajar petang. Apabila taklimat,saya dan Ayu (cikgu matematik) ditugaskan untuk mengajar sesi pagi. Oh! setkan kembali otak supaya menerima untuk mengajar sesi pagi.

Nampaknya, 6.30pagilah saya bergerak dari rumah...uhuk... :( Tapi saya gembira sebab sekurang-kurangnya saya dapat mengajar opsyen saya walaupun bukan fizik. Setidak-tidaknya masih sains. Berbanding kawan yang lain kena ajar bahasa melayu sebab sekolah kekurangan cikgu bahasa melayu juga ada kawan yang kena mengajar amalan bahasa melayu di peralihan. Oh... bersyukurlah.... Alhamdulillah~~~

Setakat ni sempatlah mendengar beberapa taklimat. 70% pelajar sekolah ini adalah berbangsa cina. Patut pun masa hari ke-2 datang sekolah lalu tepi pelajar SPM, saya tercari-cari di manakah pelajar melayu. Sekolah ni dibuka tahun 2004, kiranya masih baru, jadi tahap disiplin masih yang perlu diperelokkan. Dalam salah satu taklimat, ada cikgu bagi tahu yang kena berhati-hati . Jangan sentuh pelajar jika hendak mendenda dan jangan biarkan sampai mereka rasa terabai di dalam kelas walaupun sebenarnya mereka yang tak nak belajar. Mengajarlah dengan bersungguh-sungguh walaupun gaya mereka tak nak belajar. Bertindaklah dengan profesional sebab pelajar sekolah sangat suka buat surat layang dan hantar ke sekolah ada juga sampai melayang ke PPD dan JPN juga media. Saya berfikir-fikir.... mampukah saya mengawal kelas. Oh... takutnya... :'(

Apa-apa pun saya dah mula sukakan sekolah ni walaupun pada asalnya saya rasa macam sedih je dapat sekolah ni. Bilik guru sekolah ni cantik sebab sekolah baru. Kawan-kawan cikgu baru yang seramai 8 orang ini semuanya okay, segala urusan borang-borang, laporan orientasi dan hal kami saling membantu dan bersama. Setakat beberapa cikgu yang kami jumpa nampak okay. Staf sokongan juga baik-baik. Harap-haraplah semua kondisi mendatang juga okay. Tapi saya percaya pasti akan ada juga cabaran yang akan datang.