Kisah ini mungkin kisah saya. Kisah penuh peribadi. Boleh jadi tidak akan sesiapa mengerti. Juga tidak akan ada sesiapa peduli. Masing-masing dalam hidup punya cerita, mengapa mahu baca cerita orang lain? Tidak mengapa, saya cuma akan bercerita kepada yang mahu tahu. Barangkali ada pengajaran, barangkali terdapat sesuatu.~Salsabila Fahim :Tunggu Teduh Dulu: Faisal Tehrani~


Friday, August 21, 2009

Bacalah Al-Quran!

Seusai subuh pagi tadi saya mengkhatamkan Quran. Dan inilah buat pertama kalinya saya khatam Quran beserta dengan terjemahnnya. Di usia 22 tahun mengikut tahun Masihi dan di usia 23 tahun mengikut tahun Hijrah. Mungkin ia pada usia yang agak lambat tapi alhamdululillah belum terlewat. Jika sebelum ini hanya membaca Al-Quran tanpa memahami maknanya, jauh berbeza dengan membaca Quran dengan terjemahannya. Pembacaan Al-Quran dengan terjemahannya membuat pembacaan saya menjadi lebih bermakna.

Entry bukan untuk menghebahkan @ menghebohkan. Hanya berkongsi pengalaman. 'Menulis bukan mahu memberi TAHU tetapi ingin mencetus MAHU agar bergerak menuju MAMPU'- ayat ini pinjam ayat dari Saifulislam.com. Semoga perkongsian cerita ini mencetus minat untuk kita membaca al-quran dengan faham melalui terjemahannya.Ya Allah, jauhkan saya daripada perasaan riya' ataupun menunjuk-nunjuk. Apa yang penting bagiku ialah redha-Mu bukan mulia di mata manusia. Semoga perkongsian yang sedikit besar manfaatnya.

Al-Quran pemberian ayah ketika saya masuk mendaftar sebagai pelajar KMJ.

Bagaimana saya bermula membaca dengan terjemahannya? Sebenarnya dengan sikap saya yang suka berangan membuatkan saya selalu berfikir. Cukupkah dengan hanya membaca saja al-Quran? Terus mengingatkan saya tentang apa yang ustazah ajar masa sekolah. Ustazah berpesan," Mula-mula kita baca al-Quran, lepas itu kita kena baca dan fahamkan dan kita kena amalkan". Terkenanglah saya akan diri saya yang hanya membaca saja tanpa memahami. Mana nak fahamkan. Saya tak pandai bahasa Arab. Bahasa Arab Darjah Khas saya dapat 8! Teruk... memang teruk pun sebab masa itu tak fikir sangat pun kepentingan. Zaman budak-budak. Yang tahu pergi balik sekolah.

Jadi daripada situlah saya tergerak untuk melakukannya. Disamping itu saya juga terfikir bahawa diri saya sangat kehausan ilmu agama kerana saya mengaku secara jujur bahawa saya jarang pergi kuliah agama sebagai makanan jiwa. Oleh itu melalu pembacaan al-Quran dengan terjemahannya dapat mengisi jiwa ini. Insya-Allah.

Saya mengambil masa kira-kira 11 bulan untuk membaca Al-Quran dengan terjemahannya. Terlalu lama? Memang pun sebab saya hanya membaca selepas solat maghrib. Saya bacapun tidaklah terlalu panjang. Bagi saya apa yang penting, saya perlu baca hari-hari bersama-sama dengan terjemahnnya.

Bukan semua ayat al-Quran itu kita dapat faham secara penuh. Kerana bahasanya telalu indah untuk seorang yang terlalu daif ilmunya seperti saya. Baca al-Quran dan kemudian baca terjemahannya. Biasanya untuk perkara-perkara yang perlu diperjelaskan lanjut akan ada foot note di bawah. Jadi, boleh rujuk foot note. Kalau ada yang tak faham, boleh di tanya lanjut kepada yang lebih arif. Tetapi, itulah kelemahan saya. Sebab perkara-perkara yang saya tak faham. Saya tak bertanya lanjutpun kepada mereka yang arif. Saya biarkan ia berlalu. Perkara yang perlu saya perbaiki.

Ayuh kawan-kawan! Membaca al-Quran dan memahaminya. Orang yang memahami Al-Quran akan senantiasa mendapat ilmu dan pengetahuan yang baru dari berkat Al-Quran. Inilah kelebihan mukjizat Kitab Al-Quran yang tiada pada kitab-kitab sebelumnya.

Insya-Allah.... tinggal lebih kurang 3 jam lagi kita akan memasuki bulan Ramadhan Al-Mubarak. Di sini saya tunjukkan jadual yang bermanfaat untu kita. Gambar ini diambil dari sini. Kat blog asal yang saya jumpa itu ada jadual untuk khatam dalam masa 3 hari, 5 hari dan juga 10 hari. Gambar yang di bawah ini untuk 15 hari. Mungkin ia boleh dijadikan panduan.




Sedikit tips dari saya untuk khatam al-Quran dalam bulan Ramadhan. Berdasarkan pengalaman perempuan kebiasaanya boleh berpuasa 20 hingga 23 hari dalam bulan Ramadhan. Al-Quran mempunyai 30 juz. Jadi sehari kita kena baca sehari lebih kurang sebanyak 1.5 juz. 1 juz lebih kurang 20 muka surat. Jadi 1.5 juz lebih kurang 30 muka surat. Oleh itu setiap kali lepas solat boleh baca 6 muka surat. Insya-Allah, kita mampu khatam dalam sebulan. Cubalah! Kenikmatan yang cukup nikmat dengan bacaan al-Quran lebih-lebih lagi jika kita mapu khatam 30 juz dalam bulan Ramadhan.

Ad-Darimi meriwayatkan dengan isnadnya dari Abdullah bin Mas'ud daripada Nabi S.A.W. : Bacalah Al-Quran kerana Allah tidak menyeksa hati yang menghayati Al-Quran. Dan sesungguhnya Al-Quran ini adalah jamuan Allah, maka siapa yang masuk di dalamnya, dia pun aman. Dan sesiapa mencintai Al-Quran, maka berilah khabar gembira.

Sesuatu yang saya belum dapat dan saya nak sangat ialah... T.A.D.A.R.U.S. Saling mendengar bacaan dan saling membetulkan bacaan. Sebab saya memerlukan seseorang juga untuk bimbing saya membaca. Pembacaan saya masih lagi lemah... Masih banyak lagi tajwid yang saya tak tahu juga tak pandai cara sebutannya.

Katakanlah: "Al Quran itu adalah petunjuk dan penawar bagi orang-orang mukmin". - Maksud Surah Fussilat ayat 44 [41:44]

Selamat Menyambut Ramadhan!

p/s: Saya bukan warak @ alim, jadi jika terdapat kesalahan fakta di dalam entry di atas, boleh ditegur di ruangan komen secara hikmah. Terima kasih.

2 comments:

Infant's steps said...

good n thanx~~ =)

Raihah Rosli said...

segala puji hanya milik Allah :)
moga perkongsian ini dapat memberikan sikit input kpd pembaca serta menggerakkan hati supaya kita sama-sama mndalami Al-quran...