Kisah ini mungkin kisah saya. Kisah penuh peribadi. Boleh jadi tidak akan sesiapa mengerti. Juga tidak akan ada sesiapa peduli. Masing-masing dalam hidup punya cerita, mengapa mahu baca cerita orang lain? Tidak mengapa, saya cuma akan bercerita kepada yang mahu tahu. Barangkali ada pengajaran, barangkali terdapat sesuatu.~Salsabila Fahim :Tunggu Teduh Dulu: Faisal Tehrani~


Friday, October 30, 2009

CKT Yang Sedap

Rasanya dah lama tak buat entry tentang makan-makan. Sekarang misi diet sudah tiada okay! Saya dan Fana ada mahu menghabiskan saat-saat akhir di TM ini dengan pekena makanan-makanan yang sedap yang hanya terdapat di TM.






Untuk kali kami ke Warung Amir Char Kuey Tiow. Lokasinya di depan Restoran Dusun Bay. Warung ini hanya menyediakan Char Kuey Tiow (CKT) sahaja. Tiada makanan lain. CKT tu bolehlah kita nak minta yang pedas ke, super pedas, extra udang, extra kerang dan pelbagai lagi extra lah. Harganya berbeza-bezalah mengikut apa yang kita minta. Okay, tak semestinya makan sedap di restoran sahaja okay! Di warung juga lazat!

Warung ini ringkas saja, tapi CKTnya memang lazat! Dua hari berturut-turut kami makan di warung ini.


Wednesday, October 28, 2009

Manusia Itu Berbeza Kepandaian

Pagi ini saya cuba membuat tutorial CM. Fuuuuh.... boleh tahan soalannya. Saya rasa saya memang tak sesuai berada dalam dunia Fizik sebab sangat menyakitkan kepala otak saya. Hahaha... dah terlewat dah pun kalau nak tukar kursus.

Sekarang ini tengah study week tapi tak macam study week pun sebab sibuk dengan tesis dan tutorial. Alhamdulillah, peperiksaan bermula Khamis minggu depan. Jadi, minggu depan baru buka buku. Sekarang ini masa siapkan tesis, modul dan tutorial.

Saya nak kongsi satu cerita. Cerita ini sekadar perkongsian dengan kawan-kawan terutamanya yang bakal bergelar guru. Ia perkongsian pengalaman saya sendiri.

Saya tak pernah rasa dilabel tetapi ada salah seorang pensyarah kami. Selalu mengeluarkan kata.... " Biasalah Kumpulan D". Itulah kenyataan yang membuatkan saya sedar diri. Sebenarnya saya tak pernah rasa dipandang sebegitu tak pandai. Tapi, tidak mengapa kata-kata itu sebenarnya membuatkan saya lebih bersedia untuk ke kelas sebab saya tak mahu dipandang bodoh walaupun saya selalu blur dalam kelas.

Saya tak menyalahkan diri saya yang bodoh untuk memahami subjek itu. Saya tak menyalahakan pensyarah saya yang pandai yang sabar mengajar subjek itu. Saya tak menyalahkan subjek itu yang mencabar sebab ia ilmu yang mendekatkan hamba dengan Penciptanya. Saya akui kebolehan itu pelbagai dan mungkin kebolehan dan minat saya bukan dalam bidang itu. Teori Howard Gardner menyatakan kepelbagaian kecerdasan manusia itu pelbagai. Ada 9 jenis kecerdasan.

Dahulu di sekolah, saya bersekolah di sekolah harian biasa. Jadi saya yang tak pandai ini sentiasa di kelas pertama. Cikgu-cikgu sayang dan kami digelar "Creamer of the cream".

Hujung tahun Tingkatan Dua . Bergambar kenang-kenagnan dengan Cikgu Maslina, Cikgu Dashimah dan Cikgu Haizan.

Bersama dengan Puan Rosliza, Cikgu Biologi Tingkatan 4 dan 5


Ustazah Siti Maimunah dan kami dalam kelas 4 Sains 1


Pelajar Fizikal 21 05/06 bersama dengan tutor dan pensyarah di KMJ

Jadi saya dapat merasa dua keadaan. Masa saya menjadi kebanggaan sekolah dan masa saya di pandang tidak pandai oleh tenaga pengajar. Saya merasa implikasinya. Seterusnya membuat saya berfikir dan mengambil iktibar. Apa yang alami ini saya akan jadikan pedoman apabila bergelar guru kelak.

Ingatlah... tiada manusia dilahirkan bodoh! Semua manusia dilahirkan dengan berbeza jenis kepandaian! Jadi janganlah sesekali kita memandang rendah kepada kebolehan dan kemampuan orang lain.

Kalau untuk situasi guru. Jangan sekali membandingkan pelajar di hadapan mereka. Meskipun Kelas 1, Kelas 2, Kelas 3, Kelas 4 itu memang sudah dilabelkan di nama kelas mereka. Tapi jangan sekali keluarkan perkataan kelas pandai dan kelas bodoh. Pelajar-pelajar adalah anak muda yang sangat sensitif hatinya serta sangat panas jiwanya. Kalau mereka terdengar sudah pasti mereka menjauhi guru dan benci melihat guru. Sebab mereka masih lagi remaja yang tidak matang berfikir.

Sayangilah dan hormatilah mereka selayak mana yang sepatutnya mereka dapat. Sungguh.... pesanan ini buat diri saya yang bakal bergelar cikgu tahun hadapan. Insya-Allah.

p/s : Saya sangat sayangkan supervisor saya yang sangat baik dan memberi kata semangat yang sangat positif.

Friday, October 23, 2009

Praktikum & Jadual


(~_*)

------Entry gembira menandakan saya habis test QM!Tak ada mesej penting pun-----


Petang tadi baru sahaja selesai menjawab ujian akhir QM. Sangat meletihkan dan saya tak sabar nak menghabiskan belajar subjek ini.

Balik-balik... buka laptop dan semak penempatan sekolah praktikum saya. Penempatan praktikum yang baru ini saya ditempatkan di Sekolah Menengah Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad, Kuantan, Pahang. Jadi, batal lah penempatan yang asal saya di Sekolah Raja Perempuan Taayah, Ipoh. Partner saya yang bermohon untu bertukar di Kuantan atas faktor sudah berkahwin.

Alhamdulillah... Gembira sebab di Kuantan sebab dekat dengan Kemaman (kampung belah ayah) dan kebanyakkan kawan-kawan Fizik juga berpraktikum di Kuantan. Sedih juga sebab tak dapat berpraktikum di Sekolah Raja Perempuan Taayah di mana ia merupakan sekolah berasrama penuh negeri dan kesemuanya adalah pelajar perempuan.Tapi , saya percaya apa yang diaturkan Allah adalah yang terbaik untuk saya. Terbaik dalam karier saya sebagai guru juga terbaik untuk saya sebagai hamba-NYA.

Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.
Maksud Surah Albaqarah Ayat 216
[2:216]

Baik. Berhenti pasal praktikum. Kembali kepada sem ini semula. Alhamdulillah. Jadual peperiksaan akhir tahun saya agak cantik. CM-5/11/09, EP-9/11/09dan QM-12/11/09. Berkobar-kobar nak periksa ini. Periksaan terakhir sebelum bergelar cikgu :) Lepas ini jaga pelajar exam pula.

Oh ye! Esok saya kena siapkan tesis saya. Isnin in pembentangan tesis. Modul dan tesis perlu disiapkan. Dah la nak kena print warna. Huhu....

Minggu depan juga bermulalah study week. Yeah! Study week terakhir!


Sekian

Monday, October 19, 2009

Blog Saya Begini...

Hari ini penat. Sangat-sangat! Keluar rumah dalam pukul 9 pagi dan kembali semula ke rumah jam 8 malam. Pergi kelas, pergi Bank Islam kat pekan, pergi kelas balik dan akhir sekali pergi buat poster untuk pembentangan Rabu ini. Semuanya dengan menggunakan tulang empat kerat dan satu akal fikiran okay! Rasanya yang memenatkan sangat ni bila berjalan tengah panas dari pekan.

Jadi malam ini ingatkan nak siapkan tesis. Tapi ... bila taip-taip... padam. Taip-taip.... padam. Macam-macam cara dah buat supaya bersemangat! Hampehnya. Sekarang ada hobi baru... baca blog orang yang sempoi dan lawak. Puaslah menggembirakan diri. Sekarang ni suka baca blog seorang Dr. yang sangat sempoi dan poyo. Hahaha... terapi ni.... Buat hilang tension!

Sebenarnya, bila baca blog orang yang lawak-lawak dan sempoi-sempoi ini memang best. Kadang-kadang terasa juga blog ini sebagai terlalu skema dari segi bahasa dan gaya penulisannya meskipun isinya ringan-ringan saja. Tapi... entah rasa macam tak boleh nak buat di luar daripada itu. Jangan kata saya skema okay!

Kenapa ayat dalam ni kebanyakkannya di tulis dengan ejaan yang penuh dan sebolehnya di dalam bahasa melayu? Jawapannya ialah sebab saya seorang yang sangat sayang bahasa ibunda saya. Itulah saya. Dari sekolah lagi saya memang macam itu. Saya sangat tak suka orang pandang remeh pada bahasa melayu. Sebab itu kalau ada yang perasan ayat dalam blog ini kebanyakkannya ditulis penuh dan bahasa selain bahasa melayu amat dielakkan melainkan penulis ni malas nak terjemahkan perkataan dalam bahasa inggeris kepada bahasa melayu atau kalau bahasa melayunya terlalu panjang berbanding bahasa inggeris.(Ni kes bila penulis jadi malas tapi nak juga tulis).

Kenapa blog ini jadi macam terlalu skema isinya @ ayatnya? Sebabnya saya berasa sangat perlu untuk saya berkongsi sesuatu yang bermanfaat. Apabila anda membaca blog saya, saya telah mencuri masa anda. Jadi kalau boleh saya mahu sesuatu yang dibaca itu ada faedahnya. Saya tak mahu sesuatu perkara itu sia-sia. Saya pasti apa yang saya tulis, akan dipersoalkan di akhirat kelak. Saya takut dunia saya dan blog itu sia-sia. Saya tidak mahu. Saya takut dengan-NYA.

"Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya"

Maksud surah A-Isra' ayat 36 [17:36]


Tapi kenapa pula saya tulis kisah peribadi di sini? Hal ini kerana, pada asalnya blog ini adalah blog peribadi tapi telah diumumkan setelah beberapa bulan di wujudkan. Tak sangka juga ramai yang baca. (Eh! Saya tak perasan tau... tengok counterhit tu dah berapa.... hahaha...riak ni....astagfirullah). Saya tahu ibu saya baca, kakak saya yang kat Maran itu baca, adik saya di Mesir baca, sahabat saya di ceruk India pun baca serta kawan-kawan sekolah rendah, sekolah mengah, matrik dan u. Walaupun kadang-kadang saya rasa macam hilang privacy nak menulis. Sungguh, saya memang merasakannya. Tapi saya juga rasa seronok sebab sekurang-kurangnya di rumah kesayangan saya ini juga tempat saya meluah apa yang saya tak terluah di alam sebenar. Lagi satu saya memang suka baca blog yang berunsur peribadi sebab ia lebih dekat dengan diri sendiri. Lebih mudah untuk faham mesejnya berbanding blog yang terlalu ilmiah.

Template kedua blog saya. Saya sukakannya. Sangat manis. Tapi agak keperempuanan. Kontra dengan jiwa saya yang ganas ni. Template susah sebab kena tukar HTML.


Background ketiga saya. Juga manis. Polka dot yang bewarna-warni. Sesuai dengan jiwa remaja. Yang ini background saja. Lebih mudah berbanding template.


Saya tidak mengatakan blog orang yang lawak dan poyo atau apa saja itu salah. Tidak! Blog itu hak peribadi. Suka hati penulis dia nak tulis apa. Cuma saya berpegang pada prinsip yang telah tertanam dalam diri. Sebab itu blog saya sebegini! Saya juga sangat suka baca blog yang poyo-poyo kadang-kadang. Sungguh ia menghilangkan stress!

Sunday, October 18, 2009

Cakap Telefon

Handphone saya memang jarang berbunyi. Kalau ada pun panggilan dari ayah atau kakak saya saja. Sama ada dalam senarai missed call, received call dan dial. Semuanya nombor telefon ayah. Jarang bebenar saya nak bersembang di talian dengan orang lain.

Sebenarnya saya bermasalah untuk cakap telefon. Eh.... saya tak pekak tau walaupun pernah disarankan Dr. untuk membuat audio test di specialist. Saya tak suka cakap telefon lama-lama. Panas telinga.

Tengah hari tadi saya dapat panggilan. Bukan panggilan hangit ok! Biasanya kalau nombor-nombor yang saya tak save ni saya malas nak angkat. Tapi lama pula panggilannya. Saya pun angkatlah.

Assalamualaikum.

Waalaikum salam.

Nak cakap dengan Raihah.

Ye. Bercakap.

Ingat lagi tak?

Emmmmm.... (Rasanya macam pernah kudengar suara itu.... tapi di mana ya... bengang lah jugak kan dah lah call pastu nak suruh orang teka...)

Akak tak ingat ker?

Saya pun terfikir-fikir. Saya hanya ada adik lelaki dua orang saja, Anas dan Anis kesayangan saya itu. Sambil ligat otak berfikir.
Ye... akak ingat. Adik Kem Fizik. Sharul? Syafiq?

Sharul kak.

Bersembanglah kami. Ada lah dalam sepuluh minit. Sharul cerita itu ini. Tak tahulah kenapa tiba-tiba Sharul call. Agaknya tension nak SPM sebulan lagi. Saya pun tak tahu nak cakap apa. Nasihat saja sikit-sikit. Bagi harapan supaya semangat nak duduk SPM walaupun trial dia fail Fizik.

I'm the oldest. But I'm the shortest! Uhuk!

Itu yang dia mengadu. Tak sangka juga, program itu dah lama berlalu pertengahan bulan 2. Masih lagi berhubung sampai kini. Saya sebenarnya memang ralat nak bagi nombor handphone. Tapi masa saya bagi emel. Mereka minta no handphone alasannya mereka tiada kemudahan internet. Siap minta alamat rumah sewa saya, nak datang rumah. Oh ...tidaaakkk! Akak tak ada fulus nak belanja korang kalau korang datang. (Akak versi kedekut nih!).

Okay baru nak masuk isi. Yang atas-atas itu mukadimah. Ngeheeeeeee..... memang mengarut panjang yang amatlah mukadimahnya. Sebenarnya saya simpati akan nasib adik-adik kem saya itu. Saya percaya mereka bukannya bodoh. Mereka ada potensi. Mungkin nak cemerlang tahap budak SBP tidak, tapi tidaklah sampai markah mereka sentiasa merah.

Cuma amanah seorang guru apabila tak dilaksanakan itu yang menjadi masalah. Sebab ramai mangsanya iaitu anak didiknya yang berjumlah puluhan dan mungkin mencapai ratusan. Ini diadu sendiri oleh adik-adik kem fizik tempoh hari. Pada mulanya saya juga malas nak percaya sangat kata-kata mereka sebabnya anggapan saya mereka menggunakan helah bela diri untuk menyelamatkan mereka daripada dikatakan tidak belajar. Tetapi tindak tanduk mereka sepanjang kem itu dan kesungguhan mereka untuk memahamkan konsep fizik itu sendiri sungguh mengharukan perasaan saya yang melihat. Sehinggakan walaupun sudah habis waktu pun masih diminta untuk mengajar lagi. Oh...terharu saya. Maka saya pun menerimalah alasan mereka bahawa cikgu mereka itu dan ini...blala....bla..bla.

Teringat saya kata salah seorang Profesor saya di universiti ini:

Kalau student kamu gagal adalah disebabkan kamu. Maka berdosalah kamu. Ialah sebab kamu yang merosakkan masa depan student kamu!


Lihatlah... betapa besarnya amanah yang guru akan pikul. Jadi mengajarlah sepenuh hati dan jiwa! Mengajar dan mendidik dengan melihat potensi anak didik itu.

Rasanya tajuk kat atas tu salah la... Tapi biarlah malas nak fikir lain.


----------------------------------------Update-------------------------------------------

Malam ni Sharul call lagi. Tapi Azah dan Munirah yang bercakap. Macam-macam betullah budak-budak nak SPM ni. Azah bagi tahu first time dalam seumur hidupnya lulus Fizik. Alhamdulillah. Siap pesan suruh saya call lagi. Hahahah... tunggulah bila akak kaya!

Friday, October 16, 2009

Berusaha Membaikinya

Hari ini seharian penat menyiapkan tutorial quantum yang kedua dalam keadaan diri yang sangat tak sihat. Berkali-kali saya berulang alik ke tandas. Lemah rasa badan. Salah diri sendiri juga, buat tugasan di saat-saat akhir. Banyak juga yang saya tinggalkan kosong saja bila tak dapat menjawabnya. Dalam jam 2.30 pm saya bergerak BC untuk menghantar tutorial. Pasrah dan redha.... apa yang saya buat itu saja yang termampu. Dalam perjalanan balik, baru saja keluar BC hujan turun mencurah-curah. Saya teruskan juga perjalanan. Angin kuat bertiup di laluan pejalan kaki di tepi padang itu. Saya dah tak larat nak stay di mana-mana. Sepagi saya duduk perpustakaan dengan menahan selsema dan panas badan. Yang saya fikir masa itu adalah baring di katil. Dalam meredah hujan lebat itu saya berhajat nak singgah kat Restoran Naz, nak beli nasi dan lauk. Sesampai je kedai tu dah tak ada lauk. Owhhh... sayu sungguh rasanya.

Sesampai saja rumah dalam keadaan kecewa sebab tak dapat nasi itu, terus saya membersihakan diri dan hajat di hati nak sambung buat tesis. Tapi badan terasa lemah, maka melepek di atas katil sampai malam. Malam ini buka tesis dalam hidung masih tidak selesa dan panas badan yang masih tak kebah. Akhirnya saya ber'ym' dan membuka blog yang best buat kekuatan diri yang lemah dengan godaan dunia.

Persoalan-persoalan dari kawan saya membuatkan saya juga memuhasabahkan diri...

Apa awk faham ayat "bertaqwalah ikut kemampuanmu"

Awk rasa mcm mana kita nak tau kita dah buat sehabis mampu?

Atau kdgkala tanpa kita sedar kita cuma cipta alasan utk 'cukup dgn apa yg diusahakan'

Apa sangkaan awk kalau seseorg tu dah berusaha ke arah kebaikan tapi ALLAH blm perkenankan lagi?

Contohnya kalau seseorg dah berusaha utk perbaiki satu kesilapannya,tapi dia ulang silap yg sama n sedih dgn perbuatannya tu, apa hikmah di sebalik keadaan tu,bg pendpt awk.

Persoalan-persoalan yang pada awalnya saya rasa seolah mendera saya untuk menjawab kerana kecetekan ilmu saya dalam ilmu agama. Tapi apabila difikir-fikir balik semasa tengah bersembang itu, persoalan itu sebenarnya memuhasabahkan diri saya juga.

Persoalan-persoalan itu saya jawab mengikut pengetahuan saya. Sebolehnya mahu merespon kepada persoalan dilontarkan. Setidak-tidaknya, kalaulah saya bukan tempat untuk merujuk fakta atau apa, saya adalah seorang kawan yang mampu berkongsi cerita. "Hulurkan tangan ringankan beban=Tadahkan telinga dan hati redakan gelora jiwa" :) Namun, saya berasa tidak puas kerana tak mendapatkan jawapan konkrit.

Dan akhirnya persoalan-persoalan yang banyak itu dijawab dengan sepotong firman Allah :

Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.
~Maksud Surah al-Ankabut ayat 69 [29:69]~


Berusahalah kita bersungguh-sungguh mencari redha-NYA. Kerana JANJI ALLAH itu PASTI. Semakin kita mendekatkan diri kepada-NYA, Allah semakin dekat dengan kita. Allah tak pernah menjauhi kita, kita yang alpa sering jauh dari ALLAH. Seperti janji-NYA : Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya. Jadi,marilah kita membaiki amalan. Setiap kali diberi ujian dan dugaan ingatlah ia peringatan supaya kita dekat pada-NYA. Tanda ALLAH masih sayangkan kita dengan peringatan-peringatan yang diberi. Suapaya kita sentiasa membaiki amalan. Dan janji Allah itu pasti, Allah akan bersama hamba-Nya yang berusaha membaiki amalan. Jangan pula kita leka dengan ujian atau dugaan atau peringatan sehingga kita menjadi semakin jauh dan jauh dari-Nya.

Wednesday, October 14, 2009

Dipersia


Saya Tuhan cipta,
Menjadi hamba-Nya,
Punya cukup pancaindera,
Dikurnia akal yang sempurna.

Malangnya saya,
Hamba-Nya yang murka,
Pancaindera yang cukup dipersia,
Akal yang sempurna diambil lewa.

Maka,
Salah siapa?
Sayalah si durjana,
Durjana pada dirinya,
Mempersia kurniaan Dia.

Sunday, October 11, 2009

Saya Pandang Tajam?


Petang ini tak buat apa-apa pun. Daripada tengah hari lepas naik daripada masak, laptop dihidupkan. Ingatkan nak siapkan tesis yang masih banyak. Tapi tak bergerak pun. Buat sikit delete. Tekan tab sana sini, yang bergeraknya lain pula. Tensen. Terus baca blog, lepas jemu baca blog ambil novel tulisan Faisal Tehrani, Tunggu Teduh Dulu.... terus layan novel sambil dengar lagu Ketika Cinta Bertasbih berulang kali dari laptop. Tak muak lagi dengar rasanya dah beratus kali... Huhu. Membazir current kan bace novel tapi masih nak buka laptop. Ngeh...ngeh...ngeh. Tak apa sebulan je lagi nak menikmati rumah ini....

Tiba-tiba dalam pukul 5 Azaty sahabatku di India ini menyapa saya yang tengah khusyuk baca novel melalui YM. Menyuruh saya buat tesis :) Terima kasih sahabtku tak jemu menyuruh buat tesis! Bersembanglah kami berdua dangan agak lama. Hehehe.... rutin ni . Ada yang istimewanya berYM dengan Azaty. Dia seorang sahabat yang memperingatkan. Dia seorang sahabat yang setia mendengar. Dia seorang sahabat sentiasa mengajak diri ini dekat pada-NYA. Sungguh ia makanan hati walaupun kadang-kadang ia sembang biasa!


Saya mula kenal Azaty pada usia 13 tahun di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Universiti.
Alhamdulillah ....ukhwah ini semakin erat.



Dalam asyik sembang tiba-tiba terkeluar isu pandang-memandang.

Perbualan sebelumnya dipotong kerana sulit dan persendirian....

raihah_rosli: kite ada mslh dlm memandang
raihah_rosli: hahahaha
azaty hamzah: haha
azaty hamzah: memandang?
raihah_rosli: kite tak tau slh cara kita memandang ke ape
raihah_rosli: tp kwn kite ckp kita pndg tjm n kdg bwk makna
raihah_rosli: huahahaha
raihah_rosli: tu yg tak leh blah tu
raihah_rosli: mnyebabkan kita sgt tak selesa utk pdg org
azaty hamzah: haha
azaty hamzah: takleh blah
azaty hamzah: mgkn la kot
azaty hamzah: btul2
azaty hamzah: awk pandang tajam la reqa
azaty hamzah: gagagaga
raihah_rosli: poyo r
raihah_rosli: tajam ke?
azaty hamzah: agak r
azaty hamzah: bkn seperti pandangan biasa org lain
azaty hamzah: ngeh2
raihah_rosli: kite rse x selesa kalo mcm tu
azaty hamzah: hmm
azaty hamzah: nak wat camne
azaty hamzah: awk mmg pandang mcm tu
raihah_rosli: awk org yg ke berapa ntah ckp mcm tu
azaty hamzah: hahaha
raihah_rosli: uwaaaaaa
raihah_rosli: nmpknye mmmg btul la eh
azaty hamzah: yezza
raihah_rosli: nk pkai spek itam la
raihah_rosli: :)) [laughing]
azaty hamzah: ngeh2
azaty hamzah: haha
azaty hamzah: tapi okla,sbb awk ckp pandang bwh
azaty hamzah: boleh dikawal
raihah_rosli: tau x pe
raihah_rosli: jln pun kao bleh nk pdg bwh
raihah_rosli: ckp pdg bwh
azaty hamzah: hahaha
azaty hamzah: tapi bgs la
azaty hamzah: kita kena practice gak r ckp pandang bwh
azaty hamzah: huhu
raihah_rosli: hahahaha
raihah_rosli: poyo btul la

Terdapat juga perbualan yang terpaksa dipadamkan dalam perbualan atas sebab sulit dan persendirian...


Oleh itu kawan-kawan atau kenalan. Jangan kecil hati kalau saya cakap tak pandang muka @ pandang mata. Sebenarnya saya tak selesa. Jika ternampak seorang perempaun yang gempal berjalan sekitar TM ini yng tertunduk, fahamlah bahawa dia bukannya apa, cuma mengawal rasa tak selesa. :) Tapi saya percaya, dengan kawan yang sudah akrab saya memang tiada masalah untuk memandang .... heheh!





Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.
Maksud Surah Annur Ayat 30
[24:30]


Saturday, October 10, 2009

Sebulan Saja Lagi!

Untuk minggu ini sudah rasa lega... sebab pagi tadi baru saja abis mid term test QM dan CM malam khamis yang lepas. Malam ini kena sambung buat tesis kembali. Sabtu depan ada final test untuk QM.

Pembentangan tesis pada 27 Oktober. Banyak lagi tesis saya yang tak siap lagi. Draf jadual peperiksaan akhir dah keluar. 4, 5 dan 9 November. Mantap betul tarikh tu! Cepatkanlah berlalunya sebulan ini. Saya sudah tidak larat!

Kenapa saya tak larat? Saya tak larat dengan kandungan subjek sem ini. Hanya Allah yang tahu betapa saya berasa terseksa menghadap QM dan CM. Di luar kebolehan saya. Di luar pemikiran saya. Dan lebih penting di luar minat saya.

Saya tak faham.... Saya tak faham.... Saya tak faham apa yang saya belajar! Tapi gagahkan juga ke kelas dan memfokuskan kepala otak untuk fahamkan. Walaupun kadang-kadang otak saya dah tak mampu menampung paksaan saya untuk memahamkan kandungan subjek itu.... QM terutamanya.

Ke kelas bermain dengan huruf-huruf, nombor-nombor dan simbol-simbol dan akhirnya membentuk persamaan yang membawa pelbagai makna. Saya sudah tak larat.

Pensyarah CM saya cakap " Kalau kamu tak faham subjek ini, saya tak salahkan kamu dan bukan salah saya. Tapi salah subjek ini". Hahaha....cool betullah pensyarah saya itu. Sempoi!

Sebulan lagi saya di TM ini... Doakan saya lulus subjek sem ini. Sejarah lepas ada menunjukkan ada yang gagal. Maka jika saya lulus, saya boleh berpraktikum semester depan. Berdasarkan draf yang keluar semalam, saya bakal berpraktikum di Sekolah Raja Perempuan Taayah, Ipoh. Namun begitu menurut salah seorang staf Unit Latihan Mengajar (ULM), penempatan praktikum itu masih belum pasti, hanya draf kerana ada sebahagian sekolah belum dihubungi untuk meminta persetujuan menerima cikgu praktikum. Berkemungkinan untuk mendapat sekolah lain ada dan ada juga nama pelajar tercicir daripada penempatan praktikum.


Rakan sepraktikum saya ialah Puan Nurrul-Haniem bersama dua pelajar jurusan matematik dan dua pelajar jurusan yang tak dapat dikenal pasti. Puan Aniem agak kecewa kerana tak dapat ditempatkan di Kuantan berhampiran suaminya di UIA Kuantan. Puan Aniem sedang berusaha untuk pertukarannya ke Kuantan. Majoriti pelajar Fizik adalah ditempatkan berpraktikum di Pahang. Hanya beberapa orang sahaja tercampak ke Perak dan KL. Hanya 4 negeri saja dibuka untuk pelajar UPSI praktikum iaitu Pahang, Perak, Selangor dan KL. Kebanyakan yang dapat KL berasa tidak senang hati dan juga mereka yang dapat sekoloh methodist @ convent yang pelajarnya cakap omputih mengecutkan perut-perut ciku praktikum.


Sewaktu saya menjadi fasi di Kem Ibadah SK Soeharto. Hubungan fasi dan pelajar lebih mesra daripada hubungan pelajar dan guru. Satu perkara yang saya akui dan perlu teruma apabila saya bergelar guru kelak.


Apabila melihat laman web sekolah itu, saya rasa jatuh cinta dengan sekolah itu sebab ia merupakan sekolah agama. Saya pernah bekata dalam hati apabila melihat kawan-kawan adalah produk sekolah agama betapa beruntungnya mereka dan hati kecil saya berkata 'alangkah baiknya jika aku dapat mengajar di sekolah agama sebab nak merasa zaman sekolah seperti itu pasti tidak akan dapat diputarkan kembali usiaku kepada 12 tahun!'.Tetapi jika pengesahan penempatan praktikum yang akan keluar dua minggu lagi, saya tidak ditempatkan di situ. Saya menerima dengan redha dan saya percaya perancangan Allah itu yang terbaik untuk saya, hambaNYA...

Friday, October 9, 2009

Labuhkan Pada Tempatnya


Labuhkan ia pada yang hak,
Jatuhkan ia pada yang halal,
Membajainya aku dapat pahala,
Menikmatinya mengalir ketenangan dalam diri.

Jangan labuhkan pada yang batil,
Padanya ia jadi haram,
Padanya bertambah dosa,
Menambah noda hitam penggelap hati.

Berikan kekuatan,
Dalam mentadbir,
Sekeping yang suci lahirnya.

Ya Allah...
Berikan kekuatan kepada wanita akhir zaman ini.


Tuesday, October 6, 2009

Macam-Macam Kisah Sedih


~~~Kisah 1: Anis Terbang~~~

2 bulan itu sekejap saja... Kalau tak silap 29 hb Julai 2009 Anis sampai Malaysia. Dan semalam 5 Oktober Anis akn terbang balik ke Mesir.

Ingat lagi dua bulan lepas, saya sungguh nak pergi jemput adik saya itu di KLIA yang pada mulanya saya ingatkan saya tak dapat jemput sebab ada presentation.... tapi.... Alhamdulillah... pada hari Anis sampai, UPSI diumumkan tutup selama seminggu sebab H1N1..... saya terus turut serta menjemput. Hari ini saya tak dapat pergi menghantar pula. Banyak komitmen sebagai student di TM ni.





~~~Kisah 2: Kad Matrik!~~~

Hari ini tak tahulah apa nasib badan.... Kad matrik hilang.... Balik dari jumpa supervisor, tengok-tengok kad matrik dah tak ada.... Apa lagi berjalan kakilah ke kampus pada petang yang sangat panas terik. Ikutlah balik jalan-jalan yang dilalui sambil mata meliar mencari.... tapi tak jumpa juga.... siap nak balik pergi bilik supervisor ... Haish.... minggu-minggu sibuklah kad matrik ni nak hilang.... Esok, kalau tak jumpa juga kena pergi block ATM kat Bank Islam.... Satu kerja pula.... Habis fulus kalau kena buat kad matrik baru!


~~~kisah 3: Isu POSTING Graduan Pendidikan~~~

Malam ni, buka pula blog Aqilah MPP... cerita tentang posting graduan pendidikan. Baru-baru ini UPSIKINI ada tulis entry tentang masalah posting yang akan ambil masa dua tahun setelah graduat. Bagus betul tindakan Aqilah ni sebab dia terus tanya kat TNC dan KPM. Jawapannya...

Jawapan TNC ialah semua penempatan lepasan UPSI ke sekolah-sekolah kemungkinan besar akan mengalami kelewatan untuk dipostingkan. Keadaan ini berlaku disebabkan keadaan ekonomi negara yang kurang stabil dan kerajaan tidak dapat memberi jaminan untuk memastikan semua graduan lepasan pendidikan akan dipostingkan tepat pada masanya. Keadaan lewat posting ini perlu semua mahasiswa/i UPSI ketahui dan bersiap sedia biarpun ada dikalangan mahasiswa/i adalah penerima biasiswa dan juga sebahagiannya merupakan peminjam PTPTN. Mahasiswa/i juga dinasihatkan supaya merancang lebih awal dan bijak mencari peluang pekerjaan yang lain bagi menghadapi isu kelewatan posting ini.

Jawapan pihak KPM pula ialah isu lewat posting sememangnya akan berlaku pada tahun hadapan. Kerajaan setakat ini akan mengambil guru mengikut unjuran-unjuran sebenar kekosongan guru di seluruh sekolah di Malaysia. Berikutan dengan itu, mahasiswa/i dalam bidang pendidikan tidak akan dijamin dipostingkan dalam masa terdekat sebaik sahaja mereka graduat.

Oleh itu kawan-kawanku... bersiap sedialah kita tentang isu posting ini. Dan-dan tahun kita nak graduat pula yang kena. Nasib badan.... Kena fikir ni, kerja apalah yang nak kena buat dalam tempoh menganggur tu. Satu benda yang kita patut syukuri...kita masih dijanjikan posting walaupun secara berperingkat dan walaupun memakan masa yang lama.

Walaupun kita terfikir, kalau dah lebihan cikgu kenapa nak juga buat DPLI.... Sesungguhnya kita adalah bukan dari kalangan pembuat dasar. Suara kita suara siapa!? Jadi terima seadanya!

p/s: Bila dah sibuk-sibuk begini, blog pun menjadi tempat laporan lah... Susah nak tulis entri bguna bila dah sibuk...Huhu~

Sunday, October 4, 2009

Misi Disambung & JJCM

Dah lama rasanya tak tulis tentang misi diet. Misi ni dah tergendala sejak 15/9/2009, sejak balik raya tempoh hari. Dan misi ini musnah terus pada raya pertama hingga raya kesembilan. Apabila datang semula ke TM, pengambilan makanan dikawal. Tapi banyak juga terbabas. Hehehe... Sepanjang saya melanggar misi, berat bertambah sebanyak 2 kilo dan kembali menurun pada minggu lepas sekembalinya ke TM semula.

Gembira... rasa berbaloi juga apabila mengawal pemakanan ni. Sejak mula berdiet saya berjaya menurunkan berat badan sebanyak 6 kg. Alhamdulillah (~_*)...

Gembira... sebab balik kampung hari tu, saudara-mara saya kata saya dah kurus. Walaupun tak lah sekurus mana... kecil sikit je berbanding sebelum ini.

Gembira.. sebab selepas balik semula dari cuti raya, ramai kawan-kawan kata saya dah kurus. Pelik juga saya.... raya hari tu saya melantak makan... Balik-balik TM, kawan-kawan kata kurus.

Gembira... sebab kain baju kurung yang kecil sebanyak 4 inci telah muat dipakai! Tak perasan pula dah kecil sikit, tapi bila pakai baju yang muat-muat dulu sekarang dah longgar.

Hoooorey! Hoooooooorey!

Tapikan... orang kata pujian itu membunuh! Jadi, saya perlu lebih beringat. Jadikan pujian sebagai penaik semangat!

Habis tentang diet. Sekarang tentang Jalan-Jalan Cari Makan pula...

Jumaat lepas pergi makan KFC kat pekan TM. Inilah kali pertama masuk KFC yang baru lepas diubahsuai. Makin luas.


Snack Plate & Milo Ice

KFC kat TM yang baru diluaskan dan dicantikkan!

Petang tadi, balik dari perpustakaan pergi makan kat Dusun Bay dengan Fana. Mula-mula ingatkan nak makan kat restoran depan Dusun Bay sebab ramai orang kata Dusun Bay tak sedap. Tapi restoran depan Dusun Bay tutup. Jadi terus je pergi Dusun Bay. Siapa kata Dusun Bay tak sedap,? Sedap je saya rasa! Mungkin atas menu kot...berbeza kesedapan.

Dusun Bay, TM.

Air Horlick Ais. Cerau sikit. Kalau peka lagi sedap!


Sebelum dimakan oleh dua mangsa kebuluran:
Nasi Putih + Tom Yam Campur + Ayam 3 Rasa + Sotong Masam Manis.
Tom Yam Campur 8/10.
Ayam 3 Rasa: 9/10.
Sotong Masam Manis: 6/10.


Setelah dimakan oleh dua mangsa kebuluran:
Licin...Alhamdulillah.

Insya-Allah, esok misi diet akan disambung semula. Saya dan Che Mas dah bersedia menyambung kembali misi kami!


Friday, October 2, 2009

Kisah Seharian Dengan Tesis

Malam ini saya diserang asthma lagi. Kalau malam esok diserang asthma lagi, maka genaplah seminggu setiap malam diserang asthma... Doakanlah saya sihat :) Penyelamat saya ialah inhaler kesayanganku yang diusung ke sana ke mari. Saya guna Ventolin.

Sebenarnya malam tadi berhajat nak buka buku Quantum Mechanics sebab Sabtu depan ada ujian pertengahan sem. Tapi, tak sampai setengah jam buka buku, dada rasa tak sedap, hidung mula berair dan batuk. Apa lagi, melepeklah saya di atas katil dan mencapai inhaler. Sejam lepas itu sudah berasa lega. Tapi tak larat nak buka buku. Saya hidupkan laptop dan membaiki tesis dan modul yang telah saya dapatkan kembali drafnya daripada supervisor saya.

Hari ini seharian saya menghadap projek akhir saya ini. Bangun pagi, buka laptop terus edit sebelum print draf pertama tesis. Jam 10.30 pagi saya bergerak ke kampus berjumpa dengan supervisor saya. Saya mahu mengambil kembali draf kedua modul aktiviti saya yang telah dihantar sebelum raya dan saya mahu mengahantar draf pertama tesis saya. Dan perjumpaan berakhir jam 12.30 tengah hari. Jam 2 petang sebelum saya ke kelas tadi, saya kembali semula ke bilik supervisor saya untuk mengambil kembali draf tesis yang dihantar pagi tadi.

Sebab itu malam tadi hajat di hati mahu menelaah sebab rasa dah jemu tengok tesis. Tapi tak kesampaian. Saya rasa saya tak boleh tension. Sebab bila saya tertekan, badan saya jadi tak sihat. Tapi macam mana saya tak tension. Lihat tugasan yang menanti...

Isnin: Presentation Energy Physics tentang Generator Force Sensor yang kami cipta.
Selasa: Meeting dengan supervisor untuk tindakan seterusnya pada modul dan tesis.
Rabu: Mid term test Mechanic Classic.
Khamis: Submit report projek Hydroelectric untuk subjek Energy Physics.
Sabtu: Mid term tes Quantum Mechanics.
Uwaaaaaaa..... cepatlah habis study... saya dah tak tahan!

Tapi kan walaupun saya penat menyiapkan tesis dan modul aktiviti untuk projek akhir saya. Saya gembira sebab...


Perkataan ini dihujung draf tesis pertama saya.


Perkataan yang bertanda merah itu dalam muka surat pertama draf kedua modul saya.


Walaupun banyak lagi yang diconteng, dilorek, dipangkah dan dikomen dalam draf tesis dan draf modul saya. Tapi sekurang-kurangnya perkataan ini menggembirakan saya dan mengurangkan tekanan di kepala(~_*).

Banyak yang dibetulkan supervisor saya. Biasalah...saya budak baru belajar.